Vietnam, empat negara Eropah meterai perjanjian perdagangan bebas

Gambar bersama delegasi pada majlis menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Vietnam EFTA di Hanoi/Foto AFP


HANOI, 18 Oktober – Vietnam dan empat negara Eropah yang bukan anggota Kesatuan Eropah (EU) memeterai perjanjian perdagangan bebas pada Ahad bagi mempelbagaikan pasaran susulan tarif Amerika Syarikat (AS) yang menjejaskan perdagangan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian bertujuan menghapuskan atau mengurangkan duti kastam terhadap produk industri, perikanan dan pertanian.
  • Rundingan rasmi bermula 2012 dan dimuktamadkan pada Julai lalu selepas rundingan disambung semula pada September.
  • Perjanjian mencerminkan komitmen memperkukuh sistem perdagangan berasaskan peraturan ketika ekonomi global berdepan ketidaktentuan.
  • Ia dijangka membantu Vietnam mempelbagaikan pasaran import dan eksport serta meningkatkan penyertaannya dalam rantaian nilai global.

Perjanjian antara Vietnam dan Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA), yang dianggotai Iceland, Liechtenstein, Norway dan Switzerland, bertujuan menghapuskan atau mengurangkan duti kastam terhadap pelbagai produk industri, perikanan dan pertanian.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di Hanoi dengan kehadiran pemimpin tertinggi Vietnam, To Lam, serta wakil kerajaan negara anggota EFTA.

Menurut kenyataan kerajaan Vietnam, perjanjian itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperkukuh sistem perdagangan berasaskan peraturan ketika ekonomi global berdepan ketidaktentuan.

Perjanjian itu juga dijangka membantu Vietnam mempelbagaikan pasaran import dan eksport serta meningkatkan penyertaannya dalam rantaian nilai global.

Rundingan rasmi perjanjian berkenaan bermula pada 2012 sebelum dimuktamadkan pada Julai lalu, selepas proses rundingan disambung semula pada September tahun lalu.

Perjanjian itu dimeterai ketika Vietnam berdepan tarif tinggi terhadap eksportnya ke Amerika, susulan langkah perdagangan Presiden Donald Trump, sementara rundingan dengan Washington masih berlangsung.

Pakar sejarah dan politik, Do Dinh Lam Khang berkata, kerjasama itu mencerminkan usaha bersama untuk mempelbagaikan hubungan perdagangan dan mengurangkan kebergantungan kepada rakan dagang utama.

Menurutnya, hubungan lebih erat dengan negara EFTA juga boleh membantu Vietnam beralih kepada aktiviti ekonomi yang menghasilkan nilai tambah lebih tinggi.

Perjanjian itu merangkumi perdagangan barangan dan perkhidmatan, hak harta intelek, langkah pemulihan perdagangan serta pembangunan mampan.

Menurut EFTA, nilai perdagangan antara kedua-dua pihak mencecah 4.8 bilion euro tahun lalu. Jentera elektrik dan mekanikal, produk perikanan serta farmaseutikal merupakan antara eksport utama EFTA ke Vietnam, manakala jentera, kasut dan pakaian menjadi eksport utama Vietnam ke negara anggota persatuan itu.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.