
NEW DELHI, 18 Oktober – Sekurang-kurangnya 13 orang maut selepas sebuah lori dipandu laju merempuh orang ramai yang menghadiri perayaan Hindu di Gwalior, negeri Madhya Pradesh, India, awal pagi Ahad.
- Lori dilapor hilang kawalan sebelum merempuh penganut yang berkumpul di hadapan kuil.
- Presiden India Droupadi Murmu menyifatkan kejadian itu menyayat hati dan menyampaikan takziah serta doa untuk mangsa cedera.
- Kementerian Pengangkutan Jalan melaporkan lebih 183,000 kematian jalan raya pada 2025 akibat infrastruktur teruk, kenderaan tidak diselenggara dan pemandu keletihan.
Lori yang membawa muatan berat itu dilaporkan hilang kawalan sebelum merempuh penganut Hindu yang berkumpul di sebuah kuil.
Agensi berita Press Trust of India (PTI), memetik pegawai hospital, melaporkan 13 orang disahkan maut dalam kejadian itu.
Presiden India, Droupadi Murmu, menyifatkan kejadian berkenaan sebagai menyayat hati dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Beliau turut mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih.
Menurut Kementerian Pengangkutan Jalan India, negara berpenduduk 1.4 bilion itu merekodkan lebih 183,000 kematian akibat kemalangan jalan raya pada 2025, bersamaan lebih 500 kematian sehari.
Data rasmi mengaitkan banyak kemalangan dengan infrastruktur jalan raya yang tidak memadai, kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik serta pemandu yang keletihan.