Masalah simulator, kesihatan tidak halang Taj Izrin cipta kejayaan

Foto RTM

SEPANG, 25 September – Kerosakan komponen simulator pada saat akhir, antara cabaran yang tidak dapat dilupakan jaguh e-sukan negara, Taj Izrin Aiman Taj Madira dalam usaha memburu pingat emas pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemenangan Taj Izrin meraih emas acara Gran Turismo 7, hadiah emas kedua untuk kontinjen Malaysia.
  • Rasa lega selepas pengorbanan latihan dan tekanan, berterima kasih kepada jurulatih Alex Yoong atas sokongan.
  • Penekanan jurulatih pada kecergasan membantu mengekalkan otak segar semasa perlumbaan.
  • Taj Izrin mengumpul 36 mata dalam tiga perlumbaan: dua tempat kedua, satu kemenangan penentu.

Segala pengorbanan sepanjang menjalani latihan serta tekanan yang dialami ketika membuat persiapan akhirnya terubat selepas dia mengesahkan kejuaraan acara Gran Turismo 7 (GT7), sekali gus menghadiahkan emas kedua buat kontinjen Malaysia.

“Selepas segala pengorbanan yang saya lakukan sebelum masuk ke sini dan segala yang berlaku sebelum itu, saya rasa semuanya terasa lega. Terima kasih juga kepada jurulatih saya, Alex Yoong yang banyak memberikan ketenangan sepanjang pertandingan,” Katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di sini.

Antara pengorbanan terbesar yang dilakukannya ialah memberi tumpuan lebih kepada aspek kecergasan hasil dorongan berterusan daripada jurulatih.

“Dulu mungkin saya kurang fokus kepada kecergasan, tetapi setiap hari Alex sentiasa mendorong saya untuk memberi tumpuan kepada kecergasan. Walaupun ia mungkin tidak begitu penting dalam simulator, saya rasa ia sangat membantu kerana ketika perlumbaan kita perlukan otak yang segar untuk berfikir,” katanya.

Taj Izrin berdepan detik mencemaskan apabila kabel simulator yang dibawa ke Jepun mengalami kerosakan ketika membuat persiapan sebelum pertandingan.

Kerosakan pada kabel, termasuk komponen pedal brek memaksa dia bersama pasukan berusaha mendapatkan alat ganti dalam tempoh singkat sebelum aksi separuh akhir.

Alat ganti berkenaan akhirnya berjaya diperoleh, membolehkannya menjalani latihan pada saat akhir sebelum turun beraksi.

Taj Izrin sebelum ini mengumpul 36 mata keseluruhan dalam tiga perlumbaan GT7 selepas menamatkan dua perlumbaan awal di tempat kedua sebelum bangkit memenangi perlumbaan terakhir, sekali gus menyumbang emas kedua buat Malaysia.

Sementara itu, jurulatih Alex Yoong turut mengakui perjalanan Taj Izrin untuk meraih pingat emas tidak mudah apabila atlet itu mengalami masalah kesihatan sehingga terlepas empat hari latihan, selain berdepan masalah simulator pada minggu terakhir.

“Minggu terakhir memang mencabar. Dia juga tidak sihat dan terlepas empat hari latihan. Kemudian kami berdepan masalah kereta dan kabel pula rosak, jadi kami tidak tidur pada malam itu kerana cuba mendapatkan kabel tersebut,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.