
JERAM, 9 November – Penduduk yang terjejas akibat banjir dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Parit Mahang menyambut baik pengumuman peningkatan bantuan banjir oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
- Penduduk mahukan usaha jangka panjang termasuk penambahbaikan sistem perparitan untuk mengatasi punca banjir dan elakkan berulang.
- Bantuan kewangan penting, tetapi penduduk berharap bantuan terus disalurkan dan tidak menggantikan langkah pencegahan struktur.
- Kerajaan menaikkan bantuan kepada RM2,500 setiap keluarga di Selangor bagi menangani kesan banjir berlarutan.
Bagaimanapun, mereka berharap selain bantuan kewangan, usaha jangka panjang turut diberi perhatian bagi menangani masalah banjir yang kerap melanda kawasan itu setiap tahun, khususnya menerusi penambahbaikan sistem perparitan.
Bagi Muhammad Zakwan Sahrom, 28, dari Kampung Bukit Hijau, bantuan kepada penduduk terjejas banjir sememangnya diperlukan, namun usaha mengatasi punca kejadian perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan bencana itu terus berulang.
“Bantuan memang penting, tetapi kalau boleh, kita tidak mahu banjir berlaku langsung. Sebab itu, sistem perparitan dan saliran air perlu dipastikan berfungsi dengan lancar kerana bantuan semata-mata kadangkala tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui media.
Seorang lagi penduduk terjejas banjir, Nurul Fatihah Samsudin, 29, dari Kampung Parit Mahang berkata, keluarganya segera memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi sebaik menyedari paras air mula meningkat, selain berharap bantuan yang disalurkan kepada penduduk terjejas banjir dapat diteruskan bagi meringankan beban mereka.
“Apabila mengetahui paras air mula meningkat, kami segera mengemas rumah dan memindahkan barangan ke tempat yang lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan akibat banjir.
“Kami berharap bantuan yang diberikan dapat diteruskan,” katanya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan peningkatan bantuan banjir daripada RM1,000 kepada RM2,500 bagi setiap keluarga terjejas di Selangor setelah mengambil kira tempoh banjir yang berlarutan serta kerosakan besar dialami penduduk.
Perdana Menteri berkata, peningkatan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan keluarga yang sudah beberapa hari ditempatkan di PPS dan memerlukan bantuan lebih tinggi.