
JAKARTA, 25 September – Skuad Harimau Malaya diingatkan agar tidak memandang mudah keupayaan Bangladesh menjelang pertembungan kedua-dua pasukan dalam aksi pembukaan Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, di sini, pada Jumaat.
- Bangladesh beraksi agresif dengan persefahaman mantap dan tonggak tengah berpengalaman seperti Jamal Bhuyan, Hamza Choudhury.
- Skuad negara perlu mempertingkatkan keserasian dan persefahaman pemain akibat tempoh latihan yang singkat.
- Fokus pada perlawanan sendiri; lupa sejarah lalu, pulihkan imej Harimau Malaya dengan komitmen dan pemain baharu seperti Bergson, Hidalgo.
Pengendali interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata, barisan pemain Bangladesh memiliki corak permainan yang agresif serta persefahaman mantap, selain diperkuatkan dengan kehadiran tonggak berpengalaman di bahagian tengah.
“Kita tidak boleh anggap Bangladesh kali ini sebagai pasukan yang lemah untuk saingan kali ini. Mereka mempunyai persiapan yang cukup rapi dan sudah lama menjalani latihan bersama.
“Mereka turut dibarisi pemain berpengalaman seperti kapten pasukan, Jamal Bhuyan serta Hamza Choudhury. Kedua-dua pemain ini memperlihatkan kualiti dan pengalaman yang cukup baik di jentera tengah,” katanya.
Mengulas mengenai persiapan skuad negara, Cheng Hoe mengakui fokus utama ketika ini adalah mempertingkatkan keserasian dan persefahaman antara pemain berikutan tempoh latihan yang singkat.
Beliau bagaimanapun gembira melihat keterujaan serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh barisan pemain, termasuk kehadiran Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo dalam memperkasakan skuad kebangsaan.
“Dengan tempoh persiapan sekitar dua ke tiga hari, kita masih perlu meningkatkan persefahaman antara pemain. Apa yang penting, kita perlu fokus kepada perlawanan kita sendiri dan tidak boleh menganggap tugasan ini mudah,” jelasnya.
Menyentuh mengenai cabaran sebelum ini, beliau menegaskan skuad negara perlu melupakan episod lalu dan terus memandang ke hadapan bagi memulihkan imej serta reputasi pasukan di pentas antarabangsa.
“Perkara yang lepas itu sudah menjadi sejarah. Kita perlu melangkah ke hadapan demi masa depan pasukan. Kehadiran pemain-pemain ini diharap mampu memberikan persembahan terbaik sekali gus memulihkan imej Harimau Malaya,” katanya lagi.