
KUALA LUMPUR, 24 September – Kementerian Komunikasi melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan membawakan siaran langsung secara percuma bagi perlawanan terpilih melibatkan Harimau Malaya pada Piala ASEAN FIFA 2026 menerusi saluran Sukan RTM dan platform RTMKlik.
- RTM menafikan dakwaan kos penyiaran mencecah belasan juta; perbelanjaan sebenar jauh lebih rendah.
- RTM memberi fokus kepada perolehan hak siaran eksklusif bagi perlawanan melibatkan skuad kebangsaan sahaja.
- Aksi Malaysia bermula menentang Bangladesh, kemudian Indonesia pada 28 September dan Singapura pada 1 Oktober.
- Piala ASEAN FIFA 2026 berlangsung 24 September hingga 5 Oktober, 14 pasukan termasuk tiga jemputan; Malaysia dalam Kumpulan A Divisyen 1.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata, inisiatif itu mencerminkan kesungguhan kerajaan, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dalam memenuhi permintaan rakyat yang mahu mengikuti aksi skuad kebangsaan.
“Pertama sekali kita melihat kepada permintaan penonton dan rakyat Malaysia yang mempunyai minat amat tinggi untuk memberi sokongan teguh kepada skuad Harimau Malaya.
“Oleh yang demikian, kita lakukan yang terbaik untuk menyiarkan perlawanan melibatkan aksi skuad kebangsaan,” katanya.
Mengenai dakwaan kononnya kos penyiaran perlawanan yang mencecah belasan juta ringgit, beliau menafikan perkara itu dan menegaskan perbelanjaan sebenar jauh lebih rendah.
Ini kerana, RTM memberi fokus kepada perolehan hak penyiaran rasmi bagi perlawanan yang melibatkan pasukan negara sahaja, bukan keseluruhan kejohanan.
“Umum mengetahui cabaran kos untuk memperoleh hak siaran sukan antarabangsa ketika ini agak tinggi, namun dakwaan mengatakan kita menelan belanja yang banyak adalah tidak benar.
“Melalui rundingan dan kerjasama strategik pelbagai pihak, kita berjaya mendapatkan hak siaran rasmi bagi perlawanan membabitkan skuad Harimau Malaya demi peminat tempatan,” katanya.
Berdasarkan hantaran Facebook FIFA ASEAN Cup 2026, RTM disenaraikan sebagai penyiar rasmi bagi kejohanan itu di Malaysia.
Sementara penyiar rasmi di Australia adalah SBS, Indonesia (Emtek), Bangladesh (T Sports dan Toffee), Laos (Unitel dan Lao TV), Hong Kong (ViuTV) serta Pakistan (Tapmad).
Siaran global pula disediakan menerusi FIFA dan DAZN, manakala Thailand dan Vietnam dilaporkan masih belum mengumumkan secara rasmi penyiar masing-masing.
RTM akan menyiarkan secara langsung aksi Harimau Malaya bermula dengan perlawanan menentang Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, esok.
Skuad negara kemudian akan bertemu Indonesia di venue sama pada 28 September, sebelum melengkapkan saingan peringkat kumpulan menentang Singapura pada 1 Oktober di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung.
Piala ASEAN FIFA 2026 yang julung kali diadakan akan berlangsung dari 24 September hingga 5 Oktober dengan penyertaan 14 pasukan, terdiri daripada semua 11 negara ASEAN serta tiga pasukan jemputan iaitu Bangladesh, Pakistan dan Hong Kong.
Kejohanan itu dibahagikan kepada dua divisyen dengan Malaysia berada dalam Kumpulan A Divisyen 1 bersama Indonesia, Singapura dan Bangladesh.