
KUALA LUMPUR, 27 FEBRUARI – Surau Al-Barakah Menara Kembar Bank Rakyat menyasarkan kutipan dana sebanyak RM600,000 bagi inisiatif Tabung Infak Umrah.
- Surau Al-Barakah lancar Tabung Infak Umrah dengan sasar kutipan RM600,000 untuk bantu golongan kurang berkemampuan tunaikan umrah.
- Inisiatif disokong Bank Rakyat dan ikhlas.com serta dipromosi bersama AirAsia untuk capai sasaran dan keterangkuman sumbangan.
- Kutipan bermula 19 Februari melalui kod QR; dana taja umrah untuk 100 penerima asnaf dan B40, permohonan melalui borang.
Bank itu menerusi satu kenyataan memaklumkan, inisiatif tersebut bertujuan membantu merealisasikan harapan dan impian golongan kurang berkemampuan menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
“Inisiatif ini mendapat sokongan penuh Bank Rakyat sebagai rakan kerjasama serta ikhlas.com, rakan rasmi AirAsia, yang membantu mempromosikannya bagi mencapai objektif dan sasarannya.
“Kutipan dana telah dilaksanakan sejak 19 Februari lalu melalui kod QR Tabung Infak Umrah bagi memudahkan orang ramai untuk menyumbang secara telus dan efisien,” menurut kenyataan tersebut.
Dana tersebut akan digunakan untuk menaja kos ibadah umrah 100 orang penerima terpilih dalam kalangan golongan asnaf dan kumpulan berpendapatan rendah (B40).
Permohonan boleh dibuat menerusi borang yang boleh didapati di laman web rasmi atau mana-mana cawangan Bank Rakyat, dengan menyertakan kisah inspirasi umrah mereka sebagai asas penilaian.
Selain untuk diri sendiri, pemohon juga boleh memohon untuk individu lain yang layak dengan permohonan akan dinilai oleh jawatankuasa khas.