Terma perdagangan Malaysia naik 0.8 peratus pada Januari 2026

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 27 Februari – Terma perdagangan Malaysia meningkat 0.8 peratus bulan ke bulan kepada 124.5 mata pada Januari 2026 berbanding 123.6 mata pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Terma perdagangan meningkat 0.8 peratus bulan ke bulan kepada 124.5 mata pada Januari 2026.
  • Peningkatan dipacu oleh harga minyak galian, minyak dan lemak binatang, sayur-sayuran dan makanan.
  • Indeks nilai seunit eksport turun 0.2 peratus dan volum eksport susut 3.7 peratus.
  • Indeks nilai seunit import turun 3.7 peratus sementara volum import naik 9.4 peratus.

Ini menjadikan jumlah terma perdagangan negara secara tahunan juga mencatat peningkatan 5.1 peratus, daripada 118.4 mata pada Januari tahun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan harga minyak galian, minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran, dan makanan.

“Bagaimanapun, indeks nilai seunit eksport mencatat sedikit penurunan sebanyak 0.2 peratus, daripada 153.4 mata kepada 153.1 mata.

Penurunan ini dipengaruhi oleh beberapa sektor utama, termasuk minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran, alat jentera dan kelengkapan pengangkutan, serta minyak galian,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Sementara itu, indeks volum eksport turut menurun 3.7 peratus, terutamanya disebabkan penurunan dalam barang keluaran kilang sebanyak 14 peratus, diikuti oleh bahan kimia dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan.

Bagaimanapun, eksport pelarasan bermusim mencatatkan peningkatan 1.0 peratus, daripada 177.2 mata kepada 179.0 mata.

Jika dibandingkan secara tahunan, indeks nilai seunit eksport dan indeks volum eksport masing-masing mencatat kenaikan 1.3 peratus dan 18.1 peratus.

Bagi import, indeks nilai seunit import menurun 3.7 peratus, manakala volum import meningkat 9.4 peratus, menunjukkan corak dagangan Malaysia yang dinamik pada permulaan tahun 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.