
PUTRAJAYA, 27 Februari – Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM272.4 bilion pada Januari 2026, dengan eksport berjumlah RM146.9 bilion manakala import pula RM125.5 bilion.
- Eksport Malaysia meningkat 19.6% pada Januari, naik RM24.1 bilion berbanding tahun lalu.
- Pulau Pinang memacu pertumbuhan eksport dan import, menyumbang 44.2% eksport dan 25.8% import.
- Import naik 5.3% atau RM6.3 bilion, dengan kenaikan di kebanyakan negeri termasuk Pulau Pinang dan Selangor.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata eksport negara pada bulan tersebut meningkat sebanyak RM24.1 bilion atau 19.6 peratus berbanding Januari tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan eksport ini didorong terutamanya oleh Pulau Pinang yang mencatat lonjakan sebanyak RM22.1 bilion, diikuti Johor (RM5.7 bilion) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM736.4 juta).
Negeri lain yang turut mencatat pertumbuhan eksport adalah Perak, Negeri Sembilan dan Perlis,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, beberapa negeri merekodkan penurunan eksport, termasuk Melaka dan Kedah masing-masing sebanyak RM1.5 bilion, diikuti Terengganu, Pahang, Selangor, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Kelantan.
Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama negara dengan sumbangan 44.2 peratus, diikuti Johor, Selangor, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Bagi import pula, Datuk Seri Dr Mohd Uzir berkata nilai import meningkat RM6.3 bilion atau 5.3 peratus pada Januari 2026.
“Peningkatan import dicatatkan di kebanyakan negeri, antaranya Pulau Pinang sebanyak RM3.7 bilion, Selangor RM2.0 bilion, Melaka RM1.3 bilion, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kedah.
Sebaliknya, import menurun di Johor, Pahang, Sabah, Perlis, Kelantan dan Terengganu,” jelasnya lagi.
Pulau Pinang juga mendominasi import negara dengan sumbangan 25.8 peratus, diikuti Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kedah.