
KUALA LUMPUR, 5 November – Malaysia terus mengekalkan kedudukannya sebagai pasaran tawaran awam permulaan (IPO) paling aktif dengan merekodkan 38 penyenaraian bernilai US$1.62 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026.
- Malaysia terus jadi pasaran IPO paling aktif di ASEAN, mengatasi pasaran lain dalam tempoh dilaporkan.
- Pasaran modal memainkan peranan penting menyokong pertumbuhan syarikat melalui akses pembiayaan dan pemelbagaian asas pelabur.
- Syarikat perlu persediaan rapi, naratif ekuiti kukuh, asas perniagaan mantap, tadbir urus baik, strategi pertumbuhan jelas untuk kejayaan IPO.
- Sentimen penyenaraian ASEAN terjejas oleh pembaharuan kawal selia, prospek ekonomi sederhana, konflik Asia Barat dan kenaikan kadar faedah AS.
Prestasi itu mengatasi jumlah penyenaraian dan nilai dana yang diraih dalam tempoh sama tahun lalu, sekali gus mencerminkan minat berterusan pelabur terhadap syarikat berkualiti yang mempunyai prospek pertumbuhan kukuh.
Wakil Pasaran Modal Ernst & Young PLT, Nghia Trung Nguyen berkata, momentum berkenaan membuktikan peranan penting pasaran modal dalam menyokong pertumbuhan syarikat melalui akses kepada pembiayaan, selain memperluas asas pelabur dan profil pasaran.
Bagaimanapun, katanya, syarikat yang merancang untuk disenaraikan perlu membuat persediaan rapi dengan mengambil kira keadaan pasaran serta jangkaan pelabur, khususnya dalam persekitaran global yang tidak menentu.
“Memandangkan pelabur kini semakin selektif, naratif ekuiti yang kukuh perlu disokong asas perniagaan yang mantap, tadbir urus baik dan strategi pertumbuhan yang jelas bagi memastikan kejayaan penyenaraian serta mengekalkan keyakinan pelabur selepas IPO,” katanya dalam kenyataan Trend IPO Global EY bagi Suku Ketiga 2026, pada Khamis.
Sementara itu, Ketua IPO EY ASEAN, Chan Yew Kiang berkata sentimen penyenaraian di rantau ini terjejas pada suku kedua 2026 berikutan kesan pembaharuan kawal selia, prospek ekonomi yang sederhana serta konflik berterusan di Asia Barat.
Beliau berkata ketidaktentuan prospek ekonomi jangka pendek mendorong syarikat yang merancang IPO mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap rancangan penyenaraian mereka.
”Prestasi saham yang lemah selepas penyenaraian dan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) turut memberi kesan kepada urus niaga IPO di ASEAN.
”Menurutnya, jumlah transaksi IPO di kebanyakan pasaran Asia Tenggara pada suku ketiga 2026 menyusut berbanding tempoh sama tahun lepas, kecuali Malaysia,” jelas beliau.
Secara keseluruhan, rantau Asia Tenggara merekodkan 56 IPO dengan jumlah dana US$3.0 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, masing-masing susut 26 peratus dari segi jumlah penyenaraian dan 13 peratus dari segi nilai berbanding tempoh sama tahun lepas.
Bagi suku ketiga 2026, sebanyak 20 IPO dicatatkan, melibatkan nilai dana US$500 juta berbanding 26 IPO bernilai US$2.1 bilion dalam tempoh sama 2025.