213 rakyat Malaysia terjerat sindiket keldai dadah di luar negara

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah/Foto JaPen

KUALA LUMPUR, 5 November – Seramai 213 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana disyaki menjadi keldai dadah bagi tempoh 2024 hingga September 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sindiket mengeksploitasi golongan muda termasuk pelajar universiti dengan tawaran kerja bergaji lumayan, pakej percutian, tiket penerbangan dan imbuhan kewangan.
  • Sindiket gunakan media sosial, platform e-dagang, aplikasi komunikasi untuk promosi, perolehan pelanggan dan urus niaga jual beli dadah.
  • Modus operandi termasuk akaun palsu, kumpulan tertutup, pembayaran tanpa tunai dan e-Dompet, penghantaran via kurier, kaedah COD dan drop location.
  • KDN melalui JSJN PDRM jalankan risikan, penguatkuasaan siber 24 jam bersama MCMC, platform digital dan syarikat kurier, memperkukuh pemantauan dan memutus rantaian.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sindiket pengedaran dadah semakin mengeksploitasi golongan muda termasuk pelajar universiti menerusi pelbagai taktik memperdaya mangsa.

“Taktik sindiket pengedaran dadah yang menyasarkan golongan muda termasuk pelajar dan graduan institusi pengajian tinggi adalah melalui tawaran pekerjaan bergaji lumayan, pakej percutian, tiket penerbangan dan penginapan serta imbuhan kewangan

“Perkembangan ini menunjukkan bahawa sindiket semakin mengeksploitasi golongan muda melalui tawaran yang kelihatan menarik tapi sebenarnya mempunyai risiko perundangan dan keselamatan yang sangat serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan daripada Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau, sindiket turut menggunakan media sosial, platform e-dagang, aplikasi komunikasi untuk mempromosikan, mendapatkan pelanggan serta menjalankan urusan jual beli dadah.

Antara modus operandi yang dikenal pasti termasuk penggunaan akaun palsu, kumpulan komunikasi tertutup, pembayaran tanpa tunai dan e-Dompet, serta penghantaran melalui syarikat kurier termasuk kaedah COD dan drop location.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM melaksanakan risikan dan penguatkuasaan siber secara berterusan, termasuk pemantauan serta siasatan siber 24 jam sehari.

Usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), penyedia platform e-dagang, platform digital serta syarikat kurier.

Hasilnya, sebanyak 87 akaun disekat pada 2025, manakala 49 akaun lagi disekat sepanjang tahun ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh pendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan dan pemantauan ruang digital, selain memutuskan rantaian pengedaran dadah bagi memastikan golongan muda tidak terjebak dengan sindiket berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.