
SEPANG, 5 November – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli belum berputus asa memburu podium dalam baki tiga pusingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini, meskipun terlepas peluang berbuat demikian di laman sendiri, Ahad lalu.
- Tiga perlumbaan berbaki: GP Qatar, GP Portugal, GP Valencia, peluang terakhir capai podium atau kemenangan.
- Hakim Danish kini menduduki tempat kesembilan keseluruhan dengan 116 mata.
- Beliau pernah podium ketiga GP Itali dan menang GP Republik Czech, menamatkan 10 tahun penantian juara Moto3 Malaysia.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu terpaksa berpuas hati di tempat keempat pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), selepas memulakan perlumbaan dari petak ketiga.
“Masih ada tiga perlumbaan berbaki musim ini dan saya percaya tidak mustahil untuk menamatkan perlumbaan di podium atau meraih kemenangan sekali lagi. Saya akan terus berjuang untuk mencapai sasaran itu,” katanya.
Tiga perlumbaan terakhir yang menanti pelumba muda negara itu bermula dengan GP Qatar minggu ini, diikuti GP Portugal dari 20 hingga 22 November dan GP Valencia dari 27 hingga 29 November.
Ketika ini, Hakim Danish menghuni tangga kesembilan keseluruhan kedudukan kejuaraan Moto3 dengan mengumpul 116 mata.
Untuk rekod, beliau pernah menaiki podium ketiga pada GP Itali sebelum mencipta kejutan memenangi GP Republik Czech pada Jun lalu, meskipun memulakan perlumbaan dari petak ke-14.
Kemenangan di Republik Czech itu turut menamatkan penantian 10 tahun Malaysia untuk menyaksikan pelumba negara muncul juara dalam saingan Moto3, sejak kejayaan Khairul Idham Pawi menjuarai GP Argentina dan GP Jerman pada musim 2016.