
KUALA LUMPUR, 27 Februari – Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$126.87 bilion setakat akhir Januari 2026, meningkat berbanding AS$125.53 bilion pada akhir Disember 2025.
- Aset rizab rasmi Malaysia meningkat kepada AS$126.87 bilion pada akhir Januari 2026.
- Aliran keluar jangka pendek dianggarkan AS$10.61 bilion untuk 12 bulan akan datang.
- Kedudukan jualan hadapan bersih ialah AS$21.17 bilion, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan memaklumkan, aset mata wang asing lain berjumlah AS$569.7 juta.
Menurut bank pusat itu, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi tempoh 12 bulan akan datang melibatkan pinjaman, sekuriti dan deposit berjumlah AS$10.61 bilion.
BNM berkata, aliran keluar jangka pendek itu termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan serta kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing.
Jelas BNM, kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak AS$21.17 bilion pada akhir Januari 2026, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.
Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data berkenaan tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.
BNM berkata, unjuran aliran masuk mata wang asing itu dianggarkan berjumlah AS$2,948.5 juta bagi tempoh 12 bulan akan datang.
Menurut kenyataan itu lagi, satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh setahun, berjumlah AS$847.2 juta.
Rizab antarabangsa Malaysia juga tidak mengandungi sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan sama ada diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain.