Kekangan kewangan tidak halang pelajar mendaftar ke IPT awam

Pendaftaran pelajar baharu ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sesi 2025/2026/Fail BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Arahan kerajaan membenarkan pelajar layak mendaftar walau belum bayar yuran, pembayaran diselesaikan kemudian melalui pelbagai bantuan.
  • Program SULUNG dan inisiatif universiti sediakan pengecualian yuran, bantuan sara hidup, asrama, komputer riba dan sokongan akademik kepada keluarga B40.
  • PTPTN beri bantuan awal dan pembiayaan termasuk pendidikan percuma, Biasiswa Anak eKasih serta pelebaran bantuan kepada pelajar OKU.
  • Universiti turun padang membantu logistik, pengangkutan, makanan, peranti pembelajaran; program Asnaf to Asnaf tingkatkan pendapatan dan sokongan akademik pelajar asnaf.

Mutakhir ini, kenyataan bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), YB Dr Haim Hilman Abdullah berhubung isu yuran pendaftaran universiti telah menarik perhatian ramai.

Dalam ucapannya, beliau cuba menggambarkan seolah-olah kerajaan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan universiti awam masih gagal memahami kesusahan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Namun persoalan yang perlu ditanya adakah kenyataan tersebut benar-benar mencerminkan realiti semasa, atau sekadar mengulangi naratif politik kurang matang yang sudah tidak lagi selari dengan dasar dan amalan pendidikan tinggi negara hari ini?

Kritikan adalah sebahagian daripada demokrasi. Namun kritikan yang baik mestilah berasaskan fakta semasa, bukannya persepsi yang telah ditinggalkan oleh perkembangan dasar dan pelaksanaan di lapangan.

Pelajar Miskin Adalah Keutamaan

Hakikatnya, kerajaan telah mengambil langkah yang sangat jelas dan tegas bagi memastikan tiada pelajar miskin tercicir daripada pendidikan tinggi hanya kerana masalah kewangan.

Sejak tahun 2023, Perdana Menteri telah mengarahkan supaya mana-mana pelajar yang layak memasuki universiti tidak boleh dinafikan hak pendaftaran mereka semata-mata kerana gagal menjelaskan yuran kemasukan.

Arahan tersebut bukan sekadar kenyataan politik. Ia diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan di seluruh universiti awam. Pelajar dibenarkan mendaftar terlebih dahulu, manakala urusan pembayaran diselesaikan kemudian melalui pelbagai mekanisme bantuan dan pembiayaan yang tersedia.

Justeru, apabila isu yang sama dibangkitkan semula pada tahun 2026 seolah-olah tiada tindakan telah diambil, masyarakat berhak mempersoalkan sama ada kritikan tersebut benar-benar berpaksikan realiti semasa atau sekadar menimbulkan politik kebencian dalam kalangan generasi muda terhadap Kerajaan?

Program SULUNG yang diperkenalkan oleh KPT sejak tahun 2022 telah membuka peluang kepada pelajar generasi pertama daripada keluarga B40 untuk menikmati pelbagai bentuk bantuan termasuk pengecualian yuran pengajian, bantuan sara hidup, kemudahan asrama, komputer riba dan sokongan akademik yang berterusan.

Program tersebut kemudiannya diperkukuh dan diperluaskan dengan pelbagai initiatif lain yang digerakkan oleh unniversiti sendiri.

Initiatif Baharu PTPTN

Pada masa yang sama, kerajaan turut menyediakan bantuan awal kewangan kepada pelajar yang memerlukan sebelum pembiayaan PTPTN disalurkan sepenuhnya.

Ini menunjukkan bahawa kerajaan bukan sahaja memahami cabaran kewangan yang dihadapi pelajar, malah telah menyediakan pelbagai instrumen bagi menanganinya.

Malah reformasi yang sedang berlaku hari ini jauh lebih besar daripada sekadar isu yuran pendaftaran. Melalui Belanjawan 2026, kerajaan memperkenalkan pendidikan percuma kepada pelajar miskin melalui mekanisme pembiayaan PTPTN, memperkenalkan Biasiswa Anak eKasih PTPTN serta memperluaskan bantuan kepada pelajar OKU.

Langkah-langkah ini merupakan antara intervensi sosial terbesar dalam sejarah pendidikan tinggi negara. Ia membuktikan bahawa agenda memperluaskan akses kepada pendidikan tinggi bukan lagi sekadar slogan, tetapi diterjemahkan dalam bentuk dasar yang mempunyai implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.

Di UMT sendiri, kami mempunyai Program Asnaf to Asnaf yang mana pelajar asnaf UMT menjadi Tutor Akademik kepada pelajar asnaf komuniti luar. Melalui program ini pelajar asnaf UMT menerima pendapatan sampingan dan pelajar asnaf komuniti pula mendapat peluang membaiki kelemahan akademik mereka.

Didik Mahasiswa Politik Matang

Pendidikan tinggi sepatutnya menjadi medan penyelesaian, bukannya pentas membina persepsi yang tidak berasaskan fakta. Mahasiswa perlu dipupuk untuk membentuk pemikiran politik yang matang demi pembangunan negara. Kepelbagaian fikrah politik sepatutnya berlandaskan satu asas yang kukuh iaitu untuk membina negara yang lebih cemerlang.

Sekiranya terdapat kelemahan dalam pelaksanaan, maka kelemahan itu wajar ditegur dan diperbaiki. Namun adalah tidak tepat untuk menggambarkan seolah-olah universiti awam masih menolak pelajar miskin kerana gagal membayar yuran atau kerajaan tidak menyediakan bantuan kepada mereka.

Universiti-universiti awam hari ini bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan, malah turut membantu urusan logistik, pengangkutan, makanan, peranti pembelajaran dan kebajikan pelajar. Banyak universiti turun padang menjejaki pelajar yang menghadapi kesukaran dan memastikan mereka dapat mendaftar tanpa halangan.

Pendidikan tinggi negara memerlukan wacana yang matang, jujur, dan berlandaskan bukti. Pelajar dan keluarga mereka memerlukan penyelesaian yang sebenar, bukannya persepsi yang sengaja dibina untuk meraih keuntungan politik.

Dalam isu ini, fakta jelas. Kerajaan telah bertindak. Universiti telah melaksanakan tanggungjawab mereka. Bantuan telah disediakan. Ruang penambahbaikan sentiasa ada, tetapi adalah tidak wajar untuk menafikan segala usaha yang telah dilakukan hanya kerana ingin memenangkan naratif politik tertentu.

Masyarakat berhak mendapatkan gambaran yang tepat. Dan dalam soal pendidikan tinggi, fakta mesti sentiasa mengatasi persepsi.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim
Naib Canselor
Universiti Malaysia Terengganu

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.