Syarikat pembekal waspada sindiket perolehan palsu – MATRADE

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 5 November – Syarikat pembekal dan komuniti perniagaan diingatkan supaya lebih berwaspada terhadap sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

RINGKASAN BERITA AI
  • Sindiket menghubungi melalui e-mel dan WhatsApp menawarkan projek seperti delegasi, penterjemahan, aktiviti korporat dan cenderamata.
  • Mereka meminta dokumen syarikat seperti sebut harga, profil perniagaan, sijil SSM, dokumen MOF dan penyata akaun bank.
  • Dokumen disalahgunakan untuk menghasilkan surat niat, surat setuju terima dan pesanan kerajaan palsu.
  • Gunakan hanya e-mel berdomain @matrade.gov.my; sahkan urusan di 03-6207 7077 atau info@matrade.gov.my. Mangsa hubungi NSRC 997 dan polis.

MATRADE dalam kenyataan hari ini memaklumkan, terdapat syarikat yang telah diperdaya sehingga membuat bayaran pendahuluan kepada pembekal sampingan kononnya bagi mendapatkan bekalan projek sebelum pembayaran kerajaan disalurkan.

“Sindiket berkenaan menghubungi syarikat secara langsung menerusi e-mel dan aplikasi WhatsApp dengan menawarkan projek termasuk pengurusan delegasi luar negara, perkhidmatan penterjemahan, aktiviti korporat serta pembekalan cenderamata.

“Bagi meyakinkan mangsa, suspek meminta dokumen syarikat seperti sebut harga, profil perniagaan, sijil pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dokumen Kementerian Kewangan (MOF) dan penyata akaun bank,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dokumen berkenaan kemudian disalahgunakan untuk menghasilkan surat niat, surat setuju terima (SST) dan pesanan kerajaan palsu bagi memberi gambaran bahawa perolehan itu telah diluluskan secara rasmi.

Sehubungan itu, MATRADE menegaskan semua urusan rasmi pegawainya hanya menggunakan alamat e-mel berdomain @matrade.gov.my dan tidak menggunakan akaun e-mel percuma atau WhatsApp peribadi bagi urusan perolehan.

Syarikat dinasihatkan supaya tidak menyerahkan dokumen atau membuat sebarang bayaran tanpa pengesahan dengan MATRADE menerusi talian 03-6207 7077 atau e-mel info@matrade.gov.my.

Syarikat yang telah menjadi mangsa dan melakukan transaksi kewangan diminta segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 serta membuat laporan polis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.