
SHANGHAI, 23 September – Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis pembukaan WorldSkills Shanghai 2026 di Pusat Kebudayaan Ekspo Dunia Shanghai, mencerminkan sokongan Malaysia terhadap usaha memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, (TVET).
- Malaysia memberi penekanan kepada kemahiran teknikal bernilai tinggi untuk memenuhi keperluan industri dan menyokong peralihan ke ekonomi berasaskan teknologi.
- Kontinjen Malaysia 82 ahli termasuk 22 peserta bertanding dalam 21 bidang; misi 'Road to Gold' sasar pingat emas pertama negara.
- WorldSkills Shanghai berlangsung 22 hingga 27 September di NECC, menghimpunkan 1,400 peserta dari 65 negara dalam 64 kategori kemahiran.
- Bidang disertai termasuk pembuatan, kejuruteraan, ICT, pembinaan, seni kreatif fesyen serta teknologi tinggi seperti awan, robotik, keselamatan siber dan dron.
Malaysia kini memberi penekanan kepada kemahiran teknikal bernilai tinggi bagi memenuhi keperluan industri, meningkatkan produktiviti tenaga kerja serta menyokong peralihan negara ke arah ekonomi berasaskan teknologi.
Majlis berkenaan dirasmikan Perdana Menteri China, Li Qiang, dan turut dihadiri pemimpin kerajaan, wakil negara peserta serta komuniti kemahiran antarabangsa.
Datuk Seri Anwar yang duduk bersebelahan Li Qiang, dilihat mengangkat ibu jari, tanda isyarat ‘bagus’ dan melambaikan tangan kepada kontinjen Malaysia ketika mereka berarak memasuki pekarangan pusat kebudayaan itu.
Kontinjen Malaysia terdiri daripada 82 individu, termasuk 22 peserta yang bertanding dalam 21 bidang kemahiran.
Menerusi misi ‘Road to Gold‘, Malaysia yang menganggotai WorldSkills International sejak 1992, menyasarkan pingat emas pertama negara.
Antara bidang kemahiran yang disertai ialah teknologi pembuatan dan kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi, teknologi pembinaan dan bangunan serta seni kreatif dan fesyen.
WorldSkills Shanghai 2026 berlangsung dari 22 hingga 27 September di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC).
Pertandingan kemahiran dwitahunan itu menghimpunkan 1,400 peserta dari 65 negara dan wilayah, yang akan bersaing dalam 64 kategori kemahiran.
Antaranya, bidang berteknologi tinggi seperti pengkomputeran awan, robotik mudah alih autonomi, keselamatan siber, operasi dron serta teknologi kenderaan rel.
WorldSkills turut disifatkan sebagai perhimpunan bakat kemahiran antarabangsa terbesar dunia.