
SHANGHAI, 23 September – Synergi strategik Bank Rakyat dengan dua gergasi teknologi China, Alibaba Cloud dan Lenovo memberi tumpuan kepada penerokaan kerjasama dalam bidang teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) serta teknologi kewangan atau fintech.
- Perdana Menteri memuji usaha transformasi Bank Rakyat dan komitmen memperkukuh keupayaan digital institusi itu.
- Lenovo disambut sebagai rakan ekosistem dalam Hab Komuniti Fintech Bank Rakyat untuk sokongan dan kerjasama.
- Sinergi dijangka memperkasa PMKS, gerakan koperasi dan usahawan tempatan melalui perkongsian teknologi, kepakaran dan pengalaman.
- Kerjasama strategik mesti membawa limpahan nilai kepada ekonomi, meningkatkan daya saing Malaysia serta manfaat bermakna kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada langkah transformasi dan komitmen Bank Rakyat bagi memperkukuh keupayaan digital institusi berkenaan.
“Saya menyambut baik ikhtiar transformasi serta komitmen Bank Rakyat dalam memperkukuh keupayaan digitalnya menerusi usaha meneroka peluang kerjasama yang lebih luas merentasi pelbagai lapangan perniagaan Alibaba, ” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian selepas menyertai sesi libat urus strategik membabitkan Bank Rakyat, Alibaba Cloud dan Lenovo sebaik tiba di Shanghai.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut mengalu-alukan penglibatan Lenovo sebagai rakan ekosistem dalam Hab Komuniti Fintech Bank Rakyat.
Menurutnya, sinergi strategik itu berpotensi membuka ruang perkongsian teknologi, kepakaran dan pengalaman yang dapat memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), gerakan koperasi serta usahawan tempatan.
Selain, membantu meningkatkan penyampaian perkhidmatan digital supaya lebih cekap, inklusif dan berkualiti.
“Sinergi strategik ini bakal membuka ruang perkongsian teknologi, kepakaran dan pengalaman yang dapat memperkasa PMKS, gerakan koperasi serta usahawan tempatan, di samping memacu penyampaian perkhidmatan digital yang lebihcekap, inklusif dan berkualiti,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan, setiap kerjasama strategik yang dibina perlu membawa limpahan nilai kepada ekonomi negara, meningkatkan daya saing Malaysia dan memastikan manfaat yang bermakna kepada rakyat.
“Matlamat kita jelas bahawa setiap kerjasama strategik yang dibina harus membawa limpahan nilai kepada ekonomi negara, meningkatkan daya saing Malaysia dan akhirnya, yang paling utama adalah memberi serta menjamin manfaat yang bermakna kepada rakyat,” katanya.
Datuk Seri Anwar kini berada di Shanghai bagi lawatan kerja tiga hari ke China, yang turut melibatkan penyertaan beliau dalam acara WorldSkills Shanghai 2026 sebelum meneruskan lawatan ke Hangzhou pada 24 September.
Lawatan itu antara lain memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-China serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang baharu termasuk teknologi digital, AI dan ekonomi digital.