
WASHINGTON, 22 September – Semua syarikat penerbangan komersial Iran berdepan kesukaran beroperasi di peringkat antarabangsa mulai Rabu, apabila Amerika Syarikat (AS) menguatkuasakan tekanan sekatan baharu terhadap sektor penerbangan negara itu.
- Sekatan AS menyasarkan individu, entiti dan banyak syarikat penerbangan Iran serta pembekal asing yang membantu sektor itu.
- Pembekal asing boleh kehilangan akses kepada sistem kewangan berasaskan dolar AS jika terus memberi perkhidmatan kepada pesawat Iran.
- Langkah itu menyebabkan beberapa negara menggantung penerbangan, Mahan Air menggantung laluan, dan pilihan perjalanan penumpang terhad.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, pada 23 September, semua syarikat penerbangan Iran akan ditutup di seluruh dunia.
“Penyedia perkhidmatan asing yang terus melayan pesawat Iran berdepan risiko kehilangan akses kepada sistem kewangan berasaskan dolar AS,” katanya dalam satu temu bual pada Isnin.
Antara perkhidmatan yang boleh terjejas ialah pengisian bahan api, perkhidmatan pendaratan dan pengendalian darat serta penjualan tiket.
Langkah itu susulan keputusan Perbendaharaan AS pada 8 September mengenakan sekatan terhadap 36 individu dan entiti berkaitan sektor penerbangan Iran, termasuk 27 syarikat penerbangan yang sebelum ini belum dikenakan sekatan.
Sekatan turut menyasarkan beberapa syarikat di luar Iran yang didakwa membantu sektor penerbangan negara itu, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap syarikat asing yang menyediakan perkhidmatan kepada pengendali penerbangan Iran.
Kesan langkah berkenaan mula dirasai apabila Iraq dilaporkan akan menggantung penerbangan syarikat penerbangan Iran mulai Selasa, manakala Georgia turut menghentikan operasi syarikat penerbangan Iran.
Syarikat penerbangan Iran, Mahan Air, pula menggantung penerbangan ke Istanbul dan Ankara di Turki mulai Isnin susulan arahan pihak berkuasa penerbangan negara itu.
Penerbangan ke Muscat, Oman turut digantung sejak 17 September.
Sekatan baharu itu memberi tekanan tambahan kepada sektor penerbangan Iran yang telah lama berdepan sekatan Barat, sekali gus mengehadkan keupayaan negara itu mendapatkan pesawat baharu, alat ganti dan perkhidmatan penyelenggaraan.
Ruang udara Iran sebelum ini ditutup sepenuhnya selepas serangan AS dan Israel bermula pada akhir Februari.
Sebahagian operasi penerbangan kemudian disambung semula, namun perkhidmatan antarabangsa kini semakin terhad.
Ketegangan itu berlaku ketika perang antara AS dan Iran memasuki bulan ketujuh.
Bessent mengeluarkan amaran itu sehari selepas mengadakan rundingan ekonomi dengan Naib Perdana Menteri China, He Lifeng di New York.
China merupakan antara rakan ekonomi dan diplomatik utama Iran.
Bagi penumpang, pengurangan laluan penerbangan dan tindakan negara jiran terhadap syarikat penerbangan Iran berpotensi mengehadkan pilihan perjalanan keluar dan masuk Iran, terutama jika lebih banyak penyedia perkhidmatan antarabangsa mengelak daripada berurusan dengan syarikat yang dikenakan sekatan AS. – AFP