
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Cadangan menggabungkan elemen Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berpotensi mewujudkan sistem percukaian yang lebih bersasar, di samping mengurangkan tekanan kepada perniagaan.
- Kredit cukai input membolehkan peniaga menolak cukai dibayar pembekal dan hanya membayar baki cukai tertunggak.
- Pendekatan ini membolehkan kerajaan mengekalkan sifat SST yang lebih bersasar sambil mengambil manfaat elemen terpilih GST untuk perniagaan.
- Pelaksanaan perlu tersusun supaya kos pematuhan dan keperluan laporan perakaunan digital tidak membebankan Perusahaan Kecil dan Sederhana.
- Kementerian Kewangan perlu memberi perhatian kepada perincian teknikal dan tempoh peralihan yang mencukupi kerana kos sara hidup masih cabaran.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata, mekanisme itu dapat mengurangkan kesan cukai berulang kepada peniaga, sekali gus membantu mengurangkan tekanan untuk memindahkan kos berkenaan kepada pengguna.
Antara elemen yang boleh dipertimbang dalam model berkenaan ialah kredit cukai input yang membolehkan peniaga hanya membayar baki cukai selepas mengambil kira cukai yang sudah dikenakan ketika mereka membeli barang daripada pembekal.
“Contohnya, pengeluar sudah membayar cukai sebelum menjual kepada pemborong. Apabila pemborong pula dikenakan cukai RM13, sedangkan RM10 sudah dibayar oleh pengeluar, RM10 itu boleh ditolak dan pemborong hanya perlu membayar baki RM3. Itu yang dipanggil input tax credit,” katanya pada Sidang Kemuncak Ekonomi dan Keusahawanan Asia 2026 di sini.
Tambahnya, pendekatan berkenaan membolehkan kerajaan mengekalkan sifat SST yang lebih bersasar khususnya dalam melindungi pengguna berpendapatan rendah sambil mengambil elemen tertentu daripada GST yang memberi manfaat kepada perniagaan.
Bagaimanapun, pelaksanaannya perlu dibuat secara tersusun bagi memastikan kos pematuhan, termasuk keperluan sistem pelaporan perakaunan digital, tidak membebankan kumpulan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Perincian teknikal dan persediaan tempoh peralihan yang mencukupi perlu diberi perhatian utama oleh Kementerian Kewangan ketika kos sara hidup serta turun naik harga barangan masih menjadi cabaran ekonomi semasa rakyat,” ujarnya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, kerajaan sedang meneliti langkah untuk menjadikan sistem percukaian negara lebih progresif, termasuk menggabungkan elemen terpilih GST ke dalam kerangka SST sedia ada.