
KUALA LUMPUR, 14 Januari – Pelabur Malaysia digesa lebih berhati-hati terhadap risiko global terutama ketidaktentuan geopolitik yang kini menjadi kebimbangan utama pasaran.
- Pasaran didorong lonjakan teknologi dan AI, menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan syarikat melalui pusat data dan projek AI.
- Jika pertumbuhan teknologi melambat, pelabur bimbang prospek ekonomi, keuntungan syarikat dan risiko geopolitik meningkat.
- Pelabur disarankan fokus kepada asas pertumbuhan syarikat dan lihat di sebalik gangguan mikro.
- Amalkan strategi pelaburan fleksibel dan pengurusan aset dinamik untuk lindungi pelaburan berikutan perubahan kadar monetari global.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Asset Management Sdn. Bhd. (MAM), Muhammad Hishamudin Hamzah berkata pasaran kini didorong oleh lonjakan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), dengan sebahagian besar pertumbuhan pendapatan syarikat datang daripada pelaburan di pusat data dan projek AI.
“Beberapa tahun kebelakangan ini, kita menyaksikan lonjakan pesat teknologi dan AI. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) banyak dipacu oleh pelaburan dalam pusat data dan projek AI, yang turut menyumbang kepada peningkatan keuntungan syarikat dan prestasi pasaran yang baik.”
“Jika elemen pertumbuhan ini mula perlahan, pelabur mungkin bimbang tentang prospek ekonomi dan keuntungan syarikat, selain risiko geopolitik. Ketidakpastian mikro akan sentiasa wujud, tetapi pelabur perlu melihat di sebalik gangguan ini dan menumpukan perhatian kepada asas pertumbuhan syarikat yang mereka labur.”
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab selepas pelancaran Dana MAMG Growth and Income-I, di sini hari ini.
Tambahnya, pelabur perlu memberi perhatian kepada perubahan kadar dasar monetari global dan mengambil strategi pelaburan fleksibel serta pengurusan aset dinamik bagi melindungi pelaburan.
Dalam pada itu, MAM mengumumkan pengembangan francais pelaburan dikuasakan Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) Maybank susulan pencapaian aset melebihi RM1 bilion, menerusi pelancaran Dana MAMG Growth and Income-I, sebuah dana berbilang aset patuh Syariah.
Dana baharu itu menggabungkan peruntukan aset strategik CIO Pengurusan Kekayaan Kumpulan Maybank dengan kepakaran pelaburan global Schroders, bertujuan menjana pertumbuhan modal dan pendapatan konsisten merentas kitaran pasaran.
Dana ditawarkan dalam denominasi MYR dan USD, termasuk pilihan terlindung nilai serta kelas pengumpulan dan pengagihan, dengan pelaburan minimum RM1,000 atau USD1,000 dan boleh diakses melalui Maybank2U serta cawangan Maybank di seluruh negara.