PM ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan

Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN–Rusia 2026 akan berlangsung di Kazan, Persekutuan Rusia / RTM

KAZAN, 16 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN–Rusia yang berlangsung di sini selama dua hari bermula 17 hingga 18 Jun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sidang kemuncak menandakan ulang tahun ke-35 hubungan dialog ASEAN–Rusia yang bermula pada 1991.
  • Perbincangan menumpu perdagangan, pelaburan, tenaga, keterjaminan makanan, ekonomi digital, sains dan teknologi serta pelancongan.
  • Program termasuk Forum Perniagaan ASEAN–Rusia, kunjungan hormat kepada Presiden Rusia serta pertemuan dengan Ketua Tatarstan dan pemimpin ASEAN.
  • Empat dokumen dijangka dimeterai, termasuk Deklarasi Kazan dan kenyataan bersama mengenai kerjasama tenaga.

Sidang kemuncak itu diadakan bersempena ulang tahun ke-35 hubungan dialog ASEAN–Rusia yang bermula di Kuala Lumpur pada tahun 1991.

Perbincangan dijangka memberi tumpuan kepada pelbagai bidang kerjasama termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga, keterjaminan makanan, ekonomi digital, sains dan teknologi serta pelancongan.

Sepanjang lawatan itu, Perdana Menteri dijadual menghadiri Forum Perniagaan ASEAN–Rusia sebelum mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Beliau turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Ketua Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov serta beberapa pemimpin ASEAN bagi membincangkan hubungan dua hala dan isu-isu berkepentingan bersama.

Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Cheong Loon Lai berkata, kunjungan hormat Perdana Menteri ke atas Presiden Putin merupakan peluang penting bagi kedua-dua negara memperkukuh kerjasama strategik.

“Lawatan ini membuka ruang kepada Malaysia dan Rusia untuk meneruskan perbincangan dua hala, termasuk usaha memperkukuh kerjasama baharu serta mencari penyelesaian terhadap isu dan cabaran bersama,” katanya.

Beliau turut menyifatkan hubungan ASEAN, khususnya Malaysia dengan Rusia, terus berkembang dengan baik dalam bidang perdagangan, pelaburan dan tenaga.

“Malaysia menganggap Rusia sebagai rakan yang konstruktif, boleh dipercayai serta menghormati prinsip ASEAN centrality. Perkara ini dapat dilihat melalui penglibatan berterusan kita dengan pihak Rusia,” katanya.

Empat dokumen hasil dijangka dimeterai pada sidang kemuncak berkenaan, termasuk Deklarasi Kazan serta kenyataan bersama berkaitan kerjasama tenaga.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.