Platform bantu anak seni teruskan kehidupan melalui latihan keusahawanan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Program Ziarah Seni MADANI anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bukan semata-mata memberi sumbangan bagi meringankan kesusahan penggiat seni, namun ia menjadi pemangkin kepada usaha membantu mereka meneruskan kehidupan melalui latihan dan pembangunan keusahawanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • FINAS menekankan bantuan lestari melalui latihan, pembangunan keusahawanan dan peningkatan kemahiran agar penggiat seni mampu menjana pendapatan sendiri.
  • Zul Yahya berkongsi pengalaman perniagaan dan strategi pemasaran digital, termasuk penggunaan media sosial sebagai platform jana pendapatan.
  • FINAS meneruskan pengiktirafan pengalaman industri dan inisiatif pembangunan modal insan, serta menggalakkan penglibatan korporat untuk memperluas manfaat.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, bantuan yang disalurkan kepada artis yang memerlukan merupakan sokongan awal, namun penyelesaian jangka panjang perlu diberikan bagi memastikan mereka mampu menjana pendapatan secara berterusan.

Jelasnya, pertemuan bersama pelakon dan usahawan, Zulkifli Yahya atau Zul Yahya,53, yang diatur dengan kerjasama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, turut membuka ruang perkongsian pengalaman berkaitan bidang perniagaan yang boleh dimanfaatkan oleh warga industri kreatif.

“FINAS berpandangan bahawa sumbangan kewangan atau ziarah kebajikan merupakan salah satu bentuk bantuan. Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah bagaimana kita menyediakan program yang bersifat mampan seperti latihan, keusahawanan dan peningkatan kemahiran agar penggiat seni dapat membina sumber pendapatan sendiri,” katanya selepas sesi Ziarah Seni MADANI bersama pelakon itu di sini.

Dalam pertemuan itu, Zul Yahya yang mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan turut berkongsi cabaran serta strategi membangunkan perniagaan, termasuk memanfaatkan platform media sosial sebagai medium pemasaran.

Datuk Azmir berkata, pengalaman tersebut amat bernilai untuk dikongsi bersama artis lain yang berminat menceburi bidang perniagaan, khususnya dalam era digital yang menyaksikan media sosial menjadi antara platform utama menjana pendapatan.

Pada masa sama, FINAS turut meneruskan pelbagai inisiatif pembangunan modal insan termasuk program pengiktirafan pengalaman industri bagi membolehkan penggiat seni memperoleh sijil akademik yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan pekerjaan atau bidang pengajaran.

Sementara itu, Zul Yahya menyifatkan program Ziarah Seni MADANI sebagai usaha murni yang memberi perhatian kepada kebajikan golongan seniman, terutama mereka yang berdepan kesukaran hidup.

Beliau yang kini menetap di Ipoh dan sedang berusaha membuka semula perniagaan makanan berkata, ramai penggiat seni terpaksa mencari sumber rezeki di luar bidang hiburan bagi meneruskan kehidupan.

“Saya berharap program seperti ini diteruskan kerana ia memberi suntikan semangat kepada seniman yang memerlukan. Selain bantuan segera, penglibatan badan korporat dan individu berkemampuan juga amat dialu-alukan bagi memperluaskan manfaat kepada lebih ramai penggiat seni,” katanya.

Program Ziarah Seni MADANI dilaksanakan sebagai platform mendekati penggiat seni yang memerlukan bantuan di samping mengenal pasti bentuk sokongan bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka terus terpelihara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.