Industri kurier berkembang pesat, volum bungkusan domestik diunjur tumbuh 5-10 peratus

Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van Malaysia, Lin Zheng

KUALA LUMPUR, 14 Januari – Industri kurier Malaysia diunjur terus berkembang pesat dengan jumlah bungkusan domestik dijangka tumbuh lima hingga 10 peratus bagi pada 2026 berbanding tahun lalu, menurut Ninja Van Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan volum bungkusan domestik dijangka meningkat antara lima hingga 10 peratus menjelang 2026.
  • E-dagang dan pembelian dalam talian memacu permintaan penghantaran kurier.
  • Harga penghantaran rendah dijangka menarik lebih ramai pengguna dan meningkatkan volum.
  • Ninja Van memperluas perkhidmatan termasuk LTL, FTL dan kurier bungkusan sejuk untuk B2C.

Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van Malaysia, Lin Zheng berkata, perkembangan pesat e-dagang dan aktiviti pembelian secara dalam talian dijangka terus memacu pertumbuhan bagi jumlah bungkusan domestik.

Tambahnya, harga penghantaran yang dijangka kekal rendah akan mendorong peningkatan dalam volum bungkusan dan menarik lebih ramai pengguna.

“Bagi kami, tumpuan utama adalah untuk merangkumi semua aspek yang mampu kami tawarkan. Buat masa ini, kami telah memperluaskan perkhidmatan logistik kami merangkumi penghantaran antara perniagaan, perkhidmatan kurang muatan lori (LTL) dan muatan penuh lori (FTL).

”Apabila kami berupaya memenuhi lebih banyak keperluan pelanggan, perniagaan kami juga akan semakin berkembang,” katanya pada majlis makan tengah hari bersama media sempena Tahun Baharu Cina dan Tinjauan Logistik Ninja Van Malaysia 2026, di sini hari ini.

Tambahnya, syarikat penyedia logistik merancang untuk meningkatkan skala keupayaannya dengan meningkatkan liputan kawasan dan perkhidmatan, seiring dengan keperluan perniagaan.

Ia termasuk mengembangkan perkhidmatan kurier bungkusan sejuk untuk perniagaan ke pengguna (B2C) selain menyokong permintaan yang semakin meningkat bagi penghantaran bagi produk segar, beku dan sedia untuk dimakan.