26 penduduk terjejas banjir di Jitra dipindahkan ke PPS

Foto APM KEDAH

CHANGLUN, 18 Oktober– Hujan lebat berterusan lewat petang semalam mengakibatkan dua buah kampung di Mukim Temin, Kubang Pasu, dilanda banjir kilat.

RINGKASAN BERITA AI
  • PPS Dewan Lembah Keriang dibuka pada 11 malam semalam untuk menempatkan mereka yang terjejas.
  • Penduduk ditempatkan terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, sembilan wanita, sembilan kanak-kanak perempuan dan seorang bayi lelaki.
  • Operasi disokong sembilan APM, lapan JKM, tiga polis, dua Majlis Perbandaran Kubang Pasu, seorang penghulu, dua petugas SWCorp dan kenderaan 4WD serta lori tiga tan.

Kampung terlibat adalah Kampung Baru dan Kampung Tradisi.

Susulan kejadian itu, seramai 26 penduduk daripada lapan keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Lembah Keriang yang dibuka pada pukul 11 malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapt. (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, petugas Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kubang Pasu telah digerakkan untuk menjalankan pemantauan serta membantu penduduk yang terjejas.

“Petugas turut membantu mangsa memindahkan barangan ke tempat lebih selamat, selain memindahkan seorang warga emas yang terlantar ke rumah anaknya bagi memastikan keselamatan beliau.

“Pemantauan di kawasan terjejas masih diteruskan bagi menilai keadaan semasa serta memastikan keselamatan penduduk sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kedah menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan peka terhadap perkembangan cuaca, khususnya ketika hujan lebat.

Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir diminta segera berpindah ke tempat selamat sekiranya keadaan persekitaran atau kediaman tidak lagi selamat untuk diduduki.

Orang ramai juga diingatkan supaya segera menghubungi pihak berkuasa atau pasukan penyelamat sekiranya memerlukan bantuan, terutama apabila situasi banjir mengancam keselamatan diri dan keluarga.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.