Peneroka Israel serang konvoi Diplomat Eropah

Seorang datuk bandar Perancis diserang peneroka Israel/Foto AFP

TEBING BARAT, 17 Oktober – Peneroka Israel menyerang konvoi diplomat Eropah di sini dan memukul seorang datuk bandar dari Perancis yang sedang melakukan lawatan pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio memberi amaran risiko tercetusnya krisis di wilayah itu.
  • Sehari sebelumnya seorang jurugambar Amerika cedera dalam serangan ganas.
  • Keganasan meningkat menjelang pilihan raya Israel pada 27 Oktober; musim menuai zaitun Palestin sering diganggu peneroka.
  • Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot dan Menteri Luar Belgium menggesa Israel hentikan keganasan jenayah dan tangkap pihak bertanggungjawab.

Insiden itu mendorong Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio memberi amaran mengenai risiko tercetusnya krisis di wilayah berkenaan, sehari selepas seorang jurugambar foto dari Amerika cedera dalam serangan ganas.

Keganasan semakin meningkat menjelang pilihan raya Israel pada 27 Oktober nanti, ketika rakyat Palestin menjalani musim menuai zaitun tahunan yang berulang kali terganggu akibat tindakan peneroka Israel.

Datuk Bandar Aulnoye-Aymeries di utara Perancis, Bernard Baudoux, 78 tahun berkata, sekumpulan peneroka bertopeng menjerit kata-kata menghina Perancis sebelum memukul dan menendangnya menggunakan batang besi ketika beliau menyertai petani Palestin menuai zaitun di Tebing Barat.

“Saya berpendapat jika peneroka bertindak sedemikian, ini menunjukkan wujudnya toleransi daripada kerajaan Israel,” katanya.

Ketika itu, beliau bersama wakil kanan Perancis dan Belgium di Baitulmaqdis serta diplomat Poland.

Baudoux, yang memakai selempang berwarna tiga jalur bendera Perancis, dilihat terbaring di tepi sebuah kereta selepas serangan itu, namun tidak memerlukan rawatan di hospital.

Dalam pada itu, Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, menggesa Israel supaya segera menghentikan keganasan jenayah dan menangkap pihak yang bertanggungjawab. Menteri Luar Belgium turut mengeluarkan gesaan serupa. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.