Taktik licik scammer antara punca mangsa terpedaya – Pakar

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Taktik scammer yang licik sehingga berjaya membuat mangsa benar-benar percaya penipuan yang direka termasuk kononnya bakal dikenakan hukuman undang-undang, antara punca yang mendorong kebanyakan mangsa terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Scammer guna taktik canggih seperti Caller ID spoofing dan mesej palsu bank dengan pautan untuk mencuri wang mangsa.
  • Mangsa kerap terdedah kerana manipulasi ekonomi, janji cepat kaya serta kurang literasi dan kesedaran mengenai jenayah siber.
  • Langkah pencegahan: tingkatkan kesedaran, kuatkan keselamatan perbankan, banteras keldai akaun dan jangan kongsi OTP atau klik pautan tidak sah.

Selain itu, pakar jenayah siber, Mimi Sintia Mohd Bajury berkata scammer juga dilihat menggunakan taktik manipulasi ekonomi, iaitu membuat mangsa berasa teruja untuk menjadi seorang yang cepat kaya dalam tempoh masa singkat.

“Mangsa dijanjikan wang atau pelaburan daripada saham dan pelaburan tidak wujud.

“Juga, kurang literasi atau kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai bahaya jenayah scammer,” jelas beliau.

Selain licik, penjenayah scammer turut menggunakan taktik canggih seperti ‘Caller ID Spoofing’ yang menggunakan nombor serupa diguna pakai oleh agensi dan jabatan kerajaan termasuk mahkamah, balai polis, atau mana-mana kementerian.

“Scammer juga menghantar mesej palsu kononnya dari bank selain hantar pautan, yang boleh menyebabkan mangsa kehilangan sejumlah wang dalam akaun bank,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, golongan yang sering terpedaya dengan penipuan dalam talian ialah warga emas, remaja, Orang Kurang Upaya (OKU).

“Remaja mungkin sebab mereka sedang mencari pekerjaan. Warga emas pula disebabkan kurang kesedaran dan OKU mengalami masalah pembelajaran,” katanya lagi.

Bagi membendung penipuan dalam talian terus berleluasa, Mimi Sintia berpandangan beberapa langkah boleh dilaksanakan iaitu meningkatkan kesedaran masyarakat, memperkukuh keselamatan perbankan, membanteras keldai akaun, serta jangan sesekali berkongsi kata laluan sekali guna (OTP) atau klik mana-mana pautan yang tidak disahkan.

“Tindakan segera apabila kita menjadi mangsa adalah lapor kepada polis, hubungi bank dan 997 untuk meningkatkan peluang mendapatkan semula wang kita,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian pada 2025 mencecah RM2.97 bilion, meningkat RM1.40 bilion berbanding RM1.57 bilion pada tahun sebelumnya, menunjukkan trend jenayah siber yang semakin membimbangkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.