PM tiba di Turkmenistan untuk lawatan rasmi dua hari

Foto BERNAMA

ASHGABAT, 19 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Ashgabat, ibu negara Turkmenistan, menandakan bermulanya lawatan rasmi selama dua hari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan rasmi atas jemputan Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov; kunjungan balas susulan lawatan rasmi beliau ke Malaysia pada Disember 2024.
  • Agenda rasmi termasuk majlis sambutan di Istana Presiden, pertemuan empat mata, mesyuarat dua hala, penandatanganan kenyataan bersama dan pertukaran MoU.
  • Hubungan ekonomi kukuh: perdagangan dua hala RM75.80 juta dan pelaburan Petronas di Turkmenistan mencecah RM52.73 bilion sejak 1996.

Pesawat yang dinaiki beliau dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat pada 8.00 malam waktu tempatan (11.00 malam waktu Malaysia).

Ketibaan beliau disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan, Mohd Suhaimi Ahmad Tajuddin dan Timbalan Pengerusi Menteri Kabinet bagi Minyak dan Gas Turkmenistan, Guvanch Agajanov.

Delegasi Datuk Seri Anwar disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Terdahulu Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan rasmi merupakan kunjungan balas susulan lawatan rasmi Presiden Turkmenistan ke Malaysia pada Disember 2024.

Ia merupakan lawatan julung kali Perdana Menteri ke Turkmenistan dan bertepatan dengan ulang tahun ke-30 operasi PETRONAS di negara berkenaan, setelah beroperasi sejak 11 Mei 1996.

Menurut kenyataan sama, Malaysia dan Turkmenistan bakal memperkukuh kerjasama strategik menerusi pemeteraian beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman.

Ia meliputi sektor pengangkutan udara, diplomasi, sains serta minyak dan gas.

Sesi pemeteraian itu akan turut disaksikan pemimpin kedua-dua negara, selepas Majlis Sambutan Rasmi di Istana Presiden.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.