Majlis Tahfiz Negara ditubuhkan, selaras hala tuju, model pendidikan

Foto BERNAMA

KUANTAN, 19 Jun – Kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Tahfiz Negara sebagai langkah strategik bagi menyelaras hala tuju, model pendidikan, piawaian pengiktirafan serta laluan akademik pelajar tahfiz di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendidikan tahfiz dilihat sebagai laluan luas; membolehkan peralihan daripada madrasah ke universiti, hafazan kepada kemahiran dan kerjaya profesional.
  • Memperkasa Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 dengan sasaran melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050 melalui inisiatif TVET, sijil tahfiz dan kerjasama IPT.
  • Kerajaan dan negeri menyokong ekosistem tahfiz; Himpunan Hufaz Kebangsaan Oktober disasarkan 26,000 peserta selepas Pahang mengumpul lebih 5,000.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan majlis itu telah diluluskan Jemaah Menteri minggu lalu.

“Saya mahu pendidikan tahfiz dilihat sebagai laluan yang luas. Kita semua disini bukan hanya perlu diraikan dalam majlis tetapi mesti diiktiraf dalam sistem pendidikan.

“Saya mahu anak-anak tahfiz mampu bergerak daripada madrasah ke universiti, daripada hafazan kepada kemahiran, daripada institusi tahfiz ke dunia profesional dengan penuh yakin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026 di pekarangan Rumah Pahang, Yayasan Pahang, Kuantan.

Menurutnya, kerajaan turut memperkasa Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 dengan sasaran melahirkan 125 ribu huffaz profesional menjelang 2050.

Ini menerusi pelbagai inisiatif termasuk TVET Tahfiz, Sijil Tahfiz Malaysia 2.0, Sijil Perakuan Hafazan Bertahap serta kerjasama strategik dengan institusi pendidikan tinggi (IPT).

Ujarnya, pendidikan tahfiz perlu dilihat sebagai laluan pendidikan yang luas dan tidak terhad kepada institusi keagamaan semata-mata.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut memuji usaha kerajaan negeri Pahang membangunkan ekosistem
pendidikan tahfiz yang menyeluruh.

Sementara itu, beliau memaklumkan Himpunan Hufaz Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada Oktober dengan sasaran penyertaan seramai 26,000 peserta berbanding 25,000 peserta pada tahun lalu.

Himpunan itu telah mengumpulkan lebih 5,000 huffaz dan pelajar tahfiz dari seluruh negeri Pahang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.