Peruntukkan RM5.4 juta bantu usaha tingkat kefahaman ajaran Islam- Dr. Zulkifli

 Foto FB Anwar Ibrahim

SENDAYAN, 16 Mei – Peruntukan sebanyak RM5.4 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf institusi pendidikan Islam di Negeri Sembilan, langkah penting dalam memperkukuh pembangunan pendidikan Islam di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan menyokong pembaikan kemudahan dan meningkatkan kefahaman, penghayatan serta pengamalan ajaran Islam dalam masyarakat.
  • Inisiatif menyokong matlamat melahirkan ummah yang berilmu, berakhlak dan sejahtera.
  • Penyerahan simbolik bantuan kepada sekolah agama, pondok, KAFA dan tahfiz disempurnakan Perdana Menteri selepas solat Jumaat di Masjid Sri Sendayan.
  • Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM47 juta bagi elaun serta bantuan khas kepada guru takmir, guru KAFA, imam dan bilal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, peruntukan itu bukan sahaja membantu memperbaiki kemudahan sedia ada, malah memberi impak besar terhadap usaha meningkatkan kefahaman, penghayatan dan pengamalan ajaran Islam dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, usaha berkenaan turut menyokong matlamat melahirkan ummah yang berilmu,berakhlak dan sejahtera.

“Hari ini kita menyaksikan penyerahan sumbangan penyelenggaraan dan naik taraf kepada lebih kurang 57 buah sekolah dan madrasah, termasuk sekolah agama, pondok, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan juga tahfiz, dengan jumlah keseluruhan lebih RM5.4 juta. Jadi kita baiki dan kita naik taraf lebih kurang 57 buah di Negeri Sembilan, ” katanya.

Tambah beliau, komitmen kerajaan terhadap institusi pendidikan Islam membuktikan usaha berterusan dalam memperkukuh ekosistem pendidikan agama di negara ini.

Dalam majlis ringkas selepas solat Jumaat di Masjid Sri Sendayan, hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan penyelenggaraan dan naik taraf kepada 57 institusi pendidikan Islam di Negeri Sembilan.

Ia melibatkan sekolah agama, maahad tahfiz, KAFA serta pondok dengan peruntukan keseluruhan RM5.4 juta.

Kerajaan negeri pula memperuntukkan lebih RM47 juta bagi elaun serta bantuan khas kepada guru takmir, guru KAFA, imam dan bilal di seluruh negeri itu.