
KUANTAN, 15 Mei – Kerajaan Negeri Pahang akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) minggu hadapan bagi memperhalusi isu berkaitan pengurusan sumber asli dan kelestarian alam, termasuk isu pengurusan dan eksport pasir sungai di negeri ini.
- Polisi mesti seimbangkan pembangunan ekonomi, perlindungan alam sekitar dan keselamatan awam.
- Isu tidak wajar dipolemikkan atau dilihat semata-mata dari sudut keuntungan komersial.
- Pengurusan sungai penting untuk mitigasi banjir dan keselamatan rakyat; konsesi terkawal elakkan kos awam tinggi.
- Isu pengurusan dan eksport pasir perlu dinilai teliti berasaskan fakta teknikal serta libat urus berterusan dengan kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap dasar yang dilaksanakan mengambil kira keseimbangan antara pembangunan ekonomi, perlindungan alam sekitar dan keselamatan awam.
Jelas beliau, isu berkenaan tidak wajar dipolemikkan atau dilihat hanya dari sudut keuntungan komersial semata-mata.
“Ia merupakan sebahagian langkah mitigasi banjir. Pengurusan sungai yang penting demi keselamatan rakyat. Sistem sungai di negeri ini sekiranya tidak dilaksanakan dengan kaedah konsesi terkawal, kerajaan negeri menanggung kos besar menggunakan kos awam bagi tujuan penyelenggaraan sungai, pengorekan mendapan dan pelaksanaan tebatan banjir berterusan,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Jelasnya, isu pengurusan dan eksport pasir sungai perlu dinilai secara teliti, menyeluruh serta berpandukan fakta teknikal yang sebenar bagi mencari penyelesaian segera.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus mengamalkan pendekatan libat urus dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap keputusan yang diambil bersifat inklusif.