
KEMAMAN, 5 Jun – Seorang wanita maut selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaikinya bersama empat lagi individu terbabit dalam kemalangan di sini kira-kira 5.30 petang tadi.
- Kemalangan berlaku di kilometer 341.4, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) sebelum RnR Paka, Dungun.
- Kenderaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar besi pembahagi jalan di tengah lebuh raya.
- Penumpang dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Beserah, Kuantan selepas menghadiri majlis perkahwinan di Hulu Terengganu.
- Empat individu berumur 70, 65, 52 dan pemandu 29 tahun cedera ringan; kes disiasat bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintenden Jumaidy Bah Chong Weh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian yang berlaku di kilometer 341.4, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) sebelum hentian rehat dan rawat (RnR) Paka, Dungun.
Ketika kejadian, mangsa bersama empat rakan sekampung itu dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke Beserah, Kuantan selepas menghadiri majlis perkahwinan di Hulu Terengganu.
Dalam kemalangan itu, mangsa Maziah Che Hassan, 57 tahun yang duduk di tempat penumpang hadapan terputus peha kiri akibat tertusuk besi penghadang jalan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun pukul 7.15 petang tadi.
Empat lagi mangsa masing-masing berumur 70, 65, 52 dan pemandu SUV berusia 29 tahun hanya cedera ringan. Siasatan awal polis mendapati kenderaan SUV tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar besi pembahagi jalan di tengah lebuh raya.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat. Kes disiasat bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.