
DUBLIN, 5 Jun – Ireland melarang dua menteri kanan Israel daripada memasuki negara itu susulan tindakan dan kenyataan mereka yang didakwa menggalakkan konflik di Gaza.
- Menteri Kehakiman Jim O'Callaghan arah pegawai imigresen menolak kemasukan Itamar Ben Gvir dan Bezalel Smotrich.
- Perdana Menteri Micheal Martin kata tindakan berkaitan insiden flotila bantuan dan kenyataan berterusan kedua-dua menteri mengenai Palestin.
- Beliau gesa tindakan dan pendirian mereka wajar dikenakan sekatan di peringkat Kesatuan Eropah.
- Ireland mengiktiraf Palestin pada 2024; susulan itu Israel menutup kedutaannya di Dublin.
Menteri Kehakiman Ireland, Jim O’Callaghan mengarahkan pegawai imigresen menolak kemasukan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir dan Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich sekiranya mereka cuba memasuki negara berkenaan.
Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin berkata, tindakan itu bukan sahaja berkait dengan insiden membabitkan aktivis pro-Palestin dalam flotila bantuan ke Gaza bulan lalu, malah mengambil kira kenyataan berterusan kedua-dua pemimpin tersebut mengenai rakyat Palestin.
Menurut beliau, tindakan dan pendirian mereka wajar dikenakan sekatan di peringkat Kesatuan Eropah (EU).
Ben Gvir dan Smotrich merupakan antara tokoh utama dalam kerajaan gabungan sayap kanan yang dipimpin Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Sebelum ini, beberapa negara lain turut mengambil tindakan sama terhadap kedua-dua menteri berkenaan termasuk Britain, Sepanyol, Slovenia dan Perancis.
Ireland antara negara Eropah yang lantang mengkritik serangan Israel di Gaza susulan serangan Hamas ke atas Israel pada Oktober 2023.
Negara itu turut mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat pada 2024.
Susulan tindakan tersebut, Israel menutup kedutaannya di Dublin dengan mendakwa Ireland mengamalkan dasar yang bersifat anti-Israel.-AFP