Stormie beraksi berani walau cedera, SRG terus mara ke final

Hazziq Danish Mohamad Rizwan (Stormie)/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Semangat juang luar biasa dipamerkan pemain Selangor Red Giants (SRG), Hazziq Danish Mohamad Rizwan atau Stormie, apabila tetap turun beraksi meskipun berdepan kecederaan tangan kiri yang memerlukan pembedahan kecil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semangat juang Stormie yang berani tetap turun beraksi memberi inspirasi kepada rakan sepasukan.
  • Ketua jurulatih Arcadia berkata beliau menjalani prosedur perubatan untuk memastikan mampu meneruskan saingan.
  • Walaupun berasa sakit, Stormie enggan menjadikan kecederaan sebagai alasan dalam perlawanan.
  • Komunikasi dan perbincangan selepas setiap permainan menjadi kunci utama SRG menambah baik prestasi.

Pengorbanan pemain muda itu jelas menjadi inspirasi apabila beliau terus menyumbang kepada pasukan dalam aksi penting, sekali gus membantu SRG melangkah ke pentas Grand Final.

Ketua jurulatih SRG, Michael Angelo Bocado atau Arcadia, berkata Stormie baru sahaja menjalani prosedur perubatan bagi memastikan keadaannya stabil untuk meneruskan saingan.

“Situasi tersebut sememangnya memberi cabaran kepada pasukan, namun komitmen tinggi yang ditunjukkan Stormie menjadi faktor penting dalam mengekalkan prestasi SRG.

“Keadaan Stormie melibatkan isu perubatan dan minggu ini dia perlu menjalani pembedahan kecil. Kami mahu memastikan dia berada pada tahap terbaik, namun pada masa sama dia masih mampu memberi sumbangan besar kepada pasukan,” katanya.

Walaupun beraksi dalam keadaan kurang selesa, Arcadia percaya Stormie masih mempunyai kelebihan dari segi variasi pemilihan hero serta keupayaan menyesuaikan diri mengikut strategi pasukan.

Sementara itu, Stormie mengakui kesakitan yang dialami sedikit mengganggu terutama menjelang perlawanan, namun enggan menjadikannya sebagai alasan.

“Setakat hari ini, keadaan saya masih baik walaupun ada rasa sakit. Semalam sebelum perlawanan pertama, saya tiba-tiba berasa tidak selesa, tetapi itu perkara biasa selepas prosedur. Saya tidak mahu jadikan ia sebagai alasan,” katanya.

Tambahnya, komunikasi berkesan dan perbincangan selepas setiap permainan menjadi kunci utama SRG memperbaiki kelemahan dan kekal kompetitif sepanjang kejohanan.

Stormie turut menyatakan keyakinan bahawa pasukannya mempunyai peluang cerah untuk muncul juara.

Aksi penuh berani yang dipamerkan Stormie bukan sahaja mencerminkan semangat kesukanan tinggi, malah menjadi antara faktor utama kejayaan SRG mara ke Grand Final, membuktikan bahawa kecederaan bukan penghalang untuk terus berjuang demi pasukan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.