
KUALA LUMPUR, 6 Jun – Selangor Red Giants (SRG) mengesahkan tiket ke pentas Grand Final MPL Malaysia Musim Ke-17 selepas bangkit menundukkan Team IGNITE (IG) 3-1 dalam aksi final braket atas, pada Jumaat.
- Kekalahan awal dijadikan titik penting untuk membaca corak permainan lawan, menurut jurulatih Michael Angelo "Arcadia".
- SRG memperkemas strategi dan tampil lebih tersusun untuk menguasai perlawanan berikutnya selepas melakukan penyesuaian.
- Kebolehan pemain menyesuaikan diri dengan pantas menjadi kunci kebangkitan pasukan dalam siri tersebut.
- Pasukan kekal tidak mengambil mudah persiapan final; Arcadia jangka pertembungan VAMOS dan IG akan berlangsung sengit.
Walaupun dikejutkan dengan kekalahan pada permainan pertama, SRG pantas memperkemaskan strategi dan tampil lebih tersusun untuk menguasai tiga perlawanan berikutnya sekali gus menamatkan cabaran IG.
Ketua jurulatih SRG, Michael Angelo Bocado atau Arcadia, menyifatkan kekalahan awal itu sebagai titik penting dalam membantu pasukan membaca corak permainan lawan.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi pasukan. Permainan pertama memberi kami gambaran jelas tentang pendekatan lawan sebelum kami melakukan penyesuaian yang diperlukan untuk mengawal perlawanan,” katanya.
Tambah beliau, kemampuan pemain untuk menyesuaikan diri dengan pantas menjadi kunci kebangkitan SRG dalam siri tersebut.
Dalam pada itu, Arcadia menegaskan pasukannya tidak akan mengambil mudah persiapan menjelang aksi final Ahad ini, walaupun sudah mengesahkan tempat lebih awal.
Beliau turut menjangkakan pertembungan antara VAMOS dan IG dalam final braket bawah bakal berlangsung sengit dengan peluang kedua-dua pasukan dilihat seimbang.
MPL Malaysia Musim Ke-17 yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$100,000 (kira-kira RM470,000) berlangsung sehingga 7 Jun ini bagi menentukan dua wakil negara ke pentas dunia.
Kemenangan tersebut meletakkan SRG hanya selangkah lagi untuk menjulang kejuaraan musim ini.