
KUALA LUMPUR, 5 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan telah menerima notis rasmi berhubung pembubaran Dewan Negeri Johor ke-15 pada 2 Jun lepas menerusi Speaker Dewan Negeri Johor Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi.
- Pembubaran adalah selaras dengan Fasal 23(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895; pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
- SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 12 Jun untuk membincangkan urusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor Ke-16.
- Mesyuarat dipengerusikan Pengerusi SPR bagi menetapkan tarikh penting seperti Writ, Hari Penamaan, Hari Pengundian dan daftar pemilih; sidang media menyusul.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus dalam kenyataan memaklumkan, pembubaran Dewan Negeri berkenaan adalah selaras dengan Fasal 23 (2) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
“Berdasarkan Fasal itu, satu pilihan raya umum negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Negeri tersebut.
“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 12 Jun (Jumaat) bagi membincang urusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor Ke-16,” menurut kenyataan itu hari ini.
Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun bagi membincangkan tarikh-tarikh penting pilihan raya tersebut seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan-persiapan lain.
Sidang media juga akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas berkenaan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor Ke-16.