
SAUDARA PENGARANG
- AI memperluas akses pendidikan berkualiti melalui platform dan tutor maya, meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran golongan berpendapatan rendah.
- AI mencipta peluang pekerjaan baharu dan ekonomi gig; latihan semula serta peningkatan kemahiran membantu golongan miskin meningkatkan pendapatan.
- Perlu atasi jurang digital serta tegakkan tadbir urus, etika dan infrastruktur inklusif supaya manfaat AI dinikmati semua lapisan masyarakat.
Semenjak beberapa dekad kebelakangan ini, khususnya selepas tahun 2000, teknologi kecerdasan buatan (AI) telah muncul sebagai pemacu utama dalam perubahan ekonomi dan sosial. Teknologi ini bukan sahaja berupaya mengubah sistem operasi sesebuah organisasi, malah membuka peluang baharu kepada masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup.
Dalam konteks kemiskinan, teknologi AI berpotensi menjadi medium strategik untuk membantu golongan berpendapatan rendah, khususnya keluar daripada kepompong kemiskinan melalui akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan dan peningkatan produktiviti.
Namun, tidak dapat dinafikan bahawa salah satu peranan utama AI adalah untuk memperluas akses masyarakat kepada pendidikan berkualiti. Platform pembelajaran digital berasaskan AI mampu menyediakan kandungan yang dibentuk dan dicorakkan mengikut tahap kefahaman pelajar. Hal ini amat penting bagi masyarakat luar bandar dan golongan B40 yang sering berhadapan dengan kekangan akses kepada pendidikan berkualiti.
Kewujudan tutor maya dalam sistem pendidikan berasaskan AI mampu memainkan peranan dalam analisis pembelajaran dan sistem cadangan pintar. Keadaan ini membolehkan pelajar belajar secara kendiri dengan lebih efektif. Secara tidak langsung, hal ini membantu meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja.
Selain itu, pembangunan teknologi AI turut membuka ruang dan peluang kepada kewujudan pekerjaan baharu, khususnya dalam sektor ekonomi digital. Pekerjaan seperti penganalisis data, pembangun aplikasi dan pengurus kandungan digital semakin mendapat permintaan tinggi.
Walaupun terdapat kebimbangan bahawa teknologi AI akan menggantikan pekerjaan sedia ada, realitinya teknologi ini juga mampu mencipta pekerjaan baharu yang memerlukan kemahiran berbeza.
Melalui program latihan semula dan peningkatan kemahiran, golongan berpendapatan rendah dapat meningkatkan tahap pendapatan mereka dengan memanfaatkan teknologi AI. Tambahan pula, platform ekonomi gig yang dipacu AI turut membolehkan individu menjana pendapatan tanpa memerlukan modal yang besar.
Dalam sektor keusahawanan, AI berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan perniagaan kecil dan sederhana (PKS). Usahawan mikro kini boleh menggunakan instrumen AI untuk menganalisis pasaran dan memahami tingkah laku pelanggan. Hasil analisis ini membolehkan pengusaha merancang strategi pemasaran dengan lebih berkesan, membuat keputusan yang lebih tepat serta mengurangkan risiko kerugian.
Sebagai contoh, penggunaan chatbot dapat membantu meningkatkan perkhidmatan pelanggan dengan lebih efisien tanpa kos tenaga kerja yang tinggi. Ini memberi kelebihan kepada usahawan kecil untuk bersaing dalam pasaran yang semakin kompetitif.
Selain aktiviti keusahawanan, teknologi AI juga berpotensi meningkatkan kecekapan dalam sektor pertanian, yang merupakan salah satu sumber pendapatan utama bagi banyak komuniti berpendapatan rendah. Teknologi seperti pertanian pintar (smart farming) yang menggunakan teknologi AI mampu memantau keadaan tanah, cuaca dan tanaman secara masa nyata.
Keadaan ini membolehkan petani membuat keputusan yang lebih tepat mengenai penggunaan baja, air dan racun perosak, sekali gus meningkatkan hasil dan mengurangkan kos. Dengan peningkatan produktiviti ini, pendapatan petani dapat dipertingkatkan, seterusnya membantu mengurangkan kadar kemiskinan di kawasan luar bandar.
Walaupun penggunaan AI berpotensi menjadi medium pembasmian kemiskinan, keadaan ini tidak terlepas daripada cabaran jurang digital dalam kalangan masyarakat sebagai isu utama yang perlu ditangani. Tidak semua lapisan masyarakat mempunyai akses kepada internet, peranti digital atau kemahiran teknologi yang mencukupi.
Tanpa intervensi menyeluruh yang berkesan, penggunaan AI berisiko memperluas lagi jurang ketidaksamaan antara golongan kaya dan miskin.
Oleh itu, usaha memperluas akses kepada infrastruktur digital dan meningkatkan literasi teknologi dalam kalangan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar, adalah amat penting. Selain itu, aspek etika dan tadbir urus juga perlu diberi perhatian, di mana penggunaan AI perlu memastikan keadilan, ketelusan dan perlindungan data peribadi pengguna. Pembangunan dan pelaksanaan AI perlu berpaksikan prinsip inklusiviti dan keadilan sosial.
Pihak kerajaan, sektor swasta dan institusi pendidikan perlu memainkan peranan penting dalam memastikan AI dimanfaatkan secara optimum untuk pembasmian kemiskinan. Dasar yang menyokong inovasi teknologi, pelaburan dalam pendidikan digital serta program latihan kemahiran perlu diperkukuh.
Selain itu, kerjasama antara pelbagai pihak perlu dipertingkatkan bagi memastikan manfaat AI dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan yang paling terpinggir.
Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa teknologi AI mempunyai potensi besar sebagai medium untuk membantu masyarakat keluar daripada kepompong kemiskinan.
Namun, kejayaan ini bergantung pada sejauh mana teknologi ini dapat diakses, difahami dan dimanfaatkan secara inklusif. Dengan pendekatan yang holistik dan beretika, AI bukan sahaja mampu meningkatkan ekonomi individu, malah menyumbang kepada pembangunan sosial yang lebih seimbang dan mampan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Nurul Ashikin Alias
Felo Penyelidik Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC),
Universiti Malaya (UM)
E-mel: n.ashikin@um.edu.my )