Kafe unik papar dunia semut tarik perhatian di Bangkok

Foto REUTERS

BANGKOK, 6 Jun – Kebimbangan kebanyakan pemilik kafe terhadap kehadiran semut dalam makanan bertukar menjadi idea luar biasa bagi seorang penggemar serangga di Thailand yang membina sebuah kafe khas mempamerkan kehidupan semut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ant Keeping Cafe di Bangkok memaparkan terowong lutsinar dan sarang kaca, membolehkan pengunjung melihat semut pemotong daun bekerja.
  • Kafe mempamerkan ratu semut jarang serta pelbagai spesies asing seperti semut gergasi Australia dan semut honeypot.
  • Tarikan itu menarik penduduk tempatan dan pelancong dan membantu pendidikan kanak-kanak melalui pemerhatian serta set permulaan.

Pemilik kafe, Karn Romyasai, 35, membuka “Ant Keeping Cafe” di Bangkok yang menjadi kafe pertama seumpamanya di negara itu.

Kafe berkenaan dihiasi dengan paip lutsinar dan bekas kaca yang direka menyerupai terowong serta ruang bawah tanah tempat semut hidup secara tersusun. Pengunjung dapat melihat secara dekat semut pemotong daun yang tekun membawa kelopak bunga ke sarang untuk dijadikan makanan.

Menurut Karn, beliau telah memelihara pelbagai spesies semut hampir 20 tahun dan mahu orang ramai melihat sendiri keunikan dunia serangga kecil itu.

“Saya buka kafe ini supaya semua orang, terutama kanak-kanak, boleh datang melihat koloni semut yang besar dan belajar sesuatu daripadanya,” katanya.

Antara tarikan utama ialah seekor ratu semut yang jarang dapat dilihat. Ratu tersebut berasal dari selatan Thailand dan mampu hidup sehingga 30 tahun, namun tidak pernah menghasilkan koloni kerana gagal mengawan di habitat asalnya.

Selain itu, kafe berkenaan turut mempamerkan pelbagai spesies lain termasuk semut gergasi dari Australia, semut penuai dari Afrika Timur dan semut honeypot yang menyimpan makanan dalam badan mereka.

Kafe itu kini menerima kunjungan berterusan daripada pelanggan tempatan dan pelancong yang ingin melihat dunia semut secara dekat.

Seorang pengunjung, Wasin Laobandit, 26, berkata beliau berasa tenang setiap kali berada di kafe tersebut.

“Saya suka melihat masyarakat semut kerana setiap daripadanya mempunyai peranan dan rajin bekerja, seolah-olah menggambarkan masyarakat ideal,” katanya.

Bagi ibu bapa seperti Ninlaya Dangkomen, kafe itu membantu anaknya memahami tingkah laku semut dengan lebih dekat, malah beliau turut membeli set permulaan sebagai alat pembelajaran.

Pengunjung lain turut menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang jarang diperoleh kerana memberi peluang melihat kehidupan semut yang biasanya tersembunyi di bawah tanah.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.