
KUANTAN, 15 Mei – Kerajaan Negeri Pahang menegaskan komitmen untuk menangani isu melibatkan rumah ibadat di Gua Charas, Panching secara berhemah dengan mengambil kira aspek keharmonian masyarakat serta pematuhan kepada undang-undang.
- Setiausaha Kerajaan Negeri sedang mengumpul maklumat dan mendapatkan pandangan pelbagai agensi sebelum sebarang keputusan dibuat.
- Isu akan ditangani secara berhati-hati; notis dikeluarkan terlebih dahulu dan syarat perlu dipatuhi menurut peraturan.
- PDT mengeluarkan Notis Amaran Pencerobohan Tanah Kerajaan bawah Seksyen 425 KTN terhadap sebuah kuil selepas penilaian, yang berada di kawasan tumpuan pelancongan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu kini dalam penelitian oleh Setiausaha Kerajaan Negeri yang kini sedang mengumpul maklumat dan mendapatkan pandangan daripada pelbagai agensi sebelum sebarang keputusan dibuat.
Tambah beliau, isu berkenaan perlu ditangani secara berhati-hati agar ia tidak disalah tafsir atau dipolemikkan sehingga menjejaskan keharmonian.
“Mana mungkin tanah kerajaan diteroka secara haram. Kita tak benarkan. Walau bagaimanapun, kerajaan negeri akan bertindak secara berhemah. Peraturan perlu dipatuhi. Keluarkan notis dahulu, kemudian syarat dipenuhi. Bukan terus pergi. Ada peraturan tertentu,” katanya selepas sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Jelas beliau, kerajaan negeri berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang dalam setiap tindakan, termasuk memastikan sebarang penggunaan tanah kerajaan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak memanipulasi isu berkenaan bagi kepentingan tertentu, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menyelesaikannya secara profesional dan bijaksana.
Sebelum ini, media melaporkan, Pejabat Daerah Dan Tanah Kuantan (PDT) telah mengeluarkan notis pengosongan tapak terhadap sebuah kuil di Gua Charas, Panching pada 15 Mei 2025.
Notis Amaran Pencerobohan Tanah Kerajaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 (Akta 828) telah diserahkan kepada wakil pihak pengurusan kuil selepas penilaian dilakukan terhadap status binaan kuil tersebut yang berada di kawasan tumpuan pelancongan.