Ringgit ditutup rendah susulan lonjakan harga minyak, risiko geopolitik

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 5 Jun- Sentimen berhati-hati susulan ketidaktentuan geopolitik Asia Barat dan lonjakan harga minyak mendorong ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebuntuan rundingan AS dan Iran berisiko mengekalkan harga minyak tinggi, menambah tekanan kepada kadar inflasi.
  • Pihak berkuasa serantau menegaskan komitmen untuk menstabilkan mata wang di tengah ketidaktentuan pasaran.
  • Ringgit susut berbanding mata wang utama dan serantau, mencerminkan sentimen berhati-hati dalam pasaran pertukaran asing.

Pada 6.00 petang ini, ringgit turun ke paras 4.0280/0320 berbanding dolar AS daripada 4.0095/0140, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kebuntuan rundingan AS-Iran akan hanya menjadikan harga minyak kekal tinggi, sekali gus memberi tekanan kenaikan inflasi.

Pada masa sama, katanya, pihak berkuasa di rantau Asia juga telah menegaskan komitmen masing-masing untuk bertindak menstabilkan mata wang masing-masing di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran yang ketara.

Beliau berkata gandingan dolar AS-yen Jepun misalnya telah melepasi paras psikologi 160 yen dan disusuli dengan kenyataan kerajaan Jepun yang bersedia campur tangan dalam pasaran pertukaran asing manakala India pula mempertimbangkan untuk memansuhkan cukai keuntungan modal dalam usaha menarik kehadiran lebih ramai pelabur.

“Berikutan itu, pasaran pertukaran asing ini dijangka kekal berhati-hati,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit turut diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama dunia.

Ini termasuk rendah berbandping pound Britain kepada 5.4233/4287 daripada 5.3872/3932, susut nilai berbanding euro kepada 4.6882/6928 daripada 4.6610/6663 serta turun berbanding yen Jepun ke paras 2.5183/5209 daripada 2.5081/5111, semalam.

Selain itu, prestasi sama dicatatkan ringgit berbanding mata wang serantau.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1390/1424 daripada 3.1241/1279, turun berbanding baht Thailand kepada 12.3433/3605 daripada 12.2708/2903.

Unit tempatan itu susut berbanding peso Filipina kepada 6.55/6.56 daripada 6.50/6.52 dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 223.3/223.6 daripada 222.1/222.4, semalam. -BERNAMA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.