
KUALA LUMPUR, 5 Jun – Malaysia menegekalkan kedudukan tertinggi dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global sepanjang 12 tahun berturut-turut, menurut Laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) 2025/2026.
- Sistem kewangan Islam matang termasuk pensijilan halal diiktiraf antarabangsa.
- Dasar negara konsisten dan perancangan jangka panjang melalui kerjasama antara industri, kerajaan dan agensi.
- Pemerkasaan inovasi dan teknologi seperti blockchain dan AI untuk sistem kewangan halal lebih telus dan dipercayai.
- Sokongan pembiayaan dan pemasaran kepada PMKS serta pengembangan sektor halal kesihatan, farmaseutikal, pelancongan dan fesyen.
Pakar Perniagaan Antarabangsa, Ekonomi Sosial Islam dan Pembangunan Sosial, Profesor Madya Dr. Siti Sara Ibrahim berkata, ia disokong pengukuhan corak ekosistem yang konsisten berserta sistem kewangan yang teguh.
“Faktor pertama ialah Malaysia mempunyai sistem kewangan Islam yang matang dan kukuh, termasuk pensijilan halal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Faktor seterusnya adalah dasar-dasar negara yang konsisten, di mana perancangan jangka panjang melalui kerjasama antara industri, kerajaan dan pelbagai agensi telah dilaksanakan bagi memastikan struktur perancangan kekal kukuh serta terus mendapat kepercayaan global,” katanya ketika dihubungi RTM.
Beliau yang juga Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) memaklumkan, usaha mengekalkan kejayaan tersebut perlu diberikan perhatian ddidorong pemerkasaan inovasi dan teknologi dilihat penting dalam memastikan ekosistem kewangan Islam terus kekal kukuh serta berdaya saing.
“Dengan penggunaan teknologi blockchain, serta kecerdasan buatan (AI), ia menjadi kunci dalam memastikan kelancaran sistem kewangan yang halal, telus dan diyakini.
“Selain itu, saluran bantuan perlu terus diberikan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dari segi pembiayaan serta pemasaran, agar mereka dapat memperluaskan akses sehingga ke pasaran antarabangsa,” katanya lagi.
Pencapaian itu memberi impak menyeluruh dalam meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia, terutamanya dalam sektor ekonomi Islam.
Sehubungan itu, perluasan ekonomi halal yang merangkumi sektor kesihatan seperti farmaseutikal halal, selain pelancongan dan fesyen halal, dilihat penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi terus berkembang pesat serta memberi manfaat menyeluruh khususnya kepada kesejahteraan ekonomi Islam di Malaysia.