
SENDAYAN, 16 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat bersama lebih 5,000 jemaah di Masjid Sri Sendayan, hari ini, bersempena lawatan beliau ke Negeri Sembilan bagi menghadiri sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri.
- Ketibaan Perdana Menteri diiringi Menteri Besar, beberapa menteri dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.
- Beliau bersama jemaah mendengar khutbah bertajuk "Akhlak Mulia Cerminan Belia Sejahtera" oleh Imam Besar Mohd Nazri Abu Zarim.
- Anwar menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan RM5.4 juta untuk penyelenggaraan dan naik taraf 57 institusi pendidikan Islam.
- Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM47 juta untuk elaun serta bantuan khas kepada guru takmir, guru KAFA, imam dan bilal.
Ketibaan beliau kira-kira pukul 1.00 tengah hari diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Perdana Menteri kemudian bersama jemaah mendengar khutbah Jumaat bertajuk “Akhlak Mulia Cerminan Belia Sejahtera” yang disampaikan Imam Besar Masjid Sri Sendayan, Mohd Nazri Abu Zarim.
Dalam majlis ringkas selepas solat Jumaat, Datuk Seri Anwar, turut menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan penyelenggaraan dan naik taraf kepada 57 institusi pendidikan Islam di Negeri Sembilan melibatkan sekolah agama, maahad tahfiz, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta pondok dengan peruntukan keseluruhan RM5.4 juta.
Kerajaan Negeri Sembilan pula memperuntukkan lebih RM47 juta bagi elaun serta bantuan khas kepada guru takmir, guru KAFA, imam dan bilal di seluruh negeri itu.
Selesai menunaikan solat Jumaat, Perdana Menteri turut meluangkan masa beramah mesra bersama jemaah sebelum menikmati hidangan tradisional Negeri Sembilan di sebuah restoran berhampiran.