
KUALA LUMPUR, 5 Jun- Usaha melindungi dan memulihara terumbu karang perlu diberi keutamaan bagi memastikan kelestarian industri selaman dan pelancongan marin negara terus berkembang, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
- Pengurusan ekosistem marin yang mampan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi selaman bertaraf dunia.
- Industri selaman menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan pelancongan, pembangunan destinasi dan pemerkasaan komuniti setempat.
- Sektor pelancongan pulih sepenuhnya pasca pandemik dan memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara serta sokongan kepada komuniti pulau.
- MIDE 2026 memfokuskan inovasi, pemuliharaan dan pembangunan industri bagi memastikan kelestarian pelancongan selaman.
Beliau berkata pengurusan ekosistem marin yang mampan penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi selaman bertaraf dunia, selain memastikan sumber marin kekal terpelihara untuk jangka panjang.
“Malaysia dikurniakan biodiversiti marin yang luar biasa serta antara landskap dasar laut paling menakjubkan di dunia.
“Sebagai sebuah negara maritim, perairan Malaysia menjadi habitat kepada terumbu karang yang kaya, hidupan marin yang pelbagai serta lokasi selam skuba bertaraf dunia yang menarik kehadiran peminat dari seluruh pelosok dunia,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chua Choon Hwa pada Majlis Perasmian Malaysia International Dive Expo (MIDE) 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Datuk Seri Tiong berkata industri selaman kini menjadi antara pemangkin penting kepada pertumbuhan sektor pelancongan negara.
“Hari ini, aktiviti selam skuba telah berkembang jauh melangkaui sekadar aktiviti rekreasi. Ia kini menjadi komponen penting dalam ekonomi pelancongan, menyumbang kepada pembangunan destinasi, memperkasakan komuniti setempat, menjana usaha pemuliharaan marin serta menyokong kelestarian komuniti pulau di seluruh Malaysia,” katanya.
Menurutnya, sektor pelancongan negara mencatat pemulihan penuh pasca pandemik COVID-19 dengan 42.2 juta pelancong antarabangsa dan 290.1 juta pelancong domestik direkodkan pada tahun lalu.
Jumlah itu menyumbang kira-kira RM291.9 bilion kepada ekonomi negara, bersamaan 15.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus membuktikan peranan penting sektor pelancongan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi.
Sehubungan itu, Datuk Seri Tiong menegaskan pemuliharaan terumbu karang dan habitat marin perlu diperkukuh bagi memastikan industri pelancongan selaman terus berkembang serta memberi manfaat kepada ekonomi dan komuniti setempat dalam jangka panjang.
MIDE 2026 yang berlangsung pada 5 hingga 7 Jun bertemakan Forged by The Ocean: Two Decades of Passion, Purpose and Protection menghimpunkan industri selaman dan marin global dengan fokus kepada inovasi, pemuliharaan, pelancongan serta pembangunan industri.