
KUALA LUMPUR, 15 Mei – Agenda pemerkasaan Bumiputera tidak boleh digerakkan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh melibatkan kerajaan, industri, institusi pendidikan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan masyarakat.
- Mesyuarat bersama pengerusi kluster Kongres Ekonomi Bumiputera dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri untuk meneliti perkembangan dan hala tuju agenda.
- Perbincangan merangkumi pendidikan, pembangunan bakat, TVET, ekonomi, keusahawanan, teknologi baharu, pembangunan komuniti dan kesejahteraan rakyat.
- Segala dapatan dan cadangan akan diperhalusi agar agenda kekal relevan, mampan dan memperkukuh masa depan Bumiputera serta negara.
- PuTERA35 ialah pelan komprehensif 2024 hingga 2035, mengandungi 132 ikhtiar, tiga teras dan 12 pemacu bagi mempertingkat penyertaan serta pemilikan Bumiputera.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua pihak perlu bergerak seiring agar segala perancangan yang dirangka benar-benar memberi manfaat serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi akan datang.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat bersama pengerusi-pengerusi kluster Kongres Ekonomi Bumiputera di Putrajaya yang dipengerusikannya.
Mesyuarat tersebut bagi meneliti perkembangan serta hala tuju beberapa agenda strategik di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
“Pelbagai perkara dibincangkan melibatkan aspek pendidikan, pembangunan bakat, TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), ekonomi, keusahawanan, teknologi baharu, pembangunan komuniti serta kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“Insya-Allah, segala dapatan dan cadangan yang dibincangkan akan terus diperhalusi supaya agenda digerakkan ini kekal relevan, mampan dan mampu memperkukuh masa depan bumiputera serta negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
PuTERA35 yang dilancarkan pada 19 Ogos 2024 merupakan pelan komprehensif kerajaan untuk memperkasakan ekonomi bumiputera menerusi 132 ikhtiar, tiga teras dan 12 pemacu.
Pelan strategik 10 tahun bagi tempoh 2024 hingga 2035 itu menyasarkan peningkatan penyertaan, pemilikan dan penguasaan bumiputera ke tahap lebih tinggi selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI.