
IPOH, 15 Mei – Kira-kira 50 kekosongan jawatan pengetua dan guru besar di seluruh negara mula diselesaikan hari ini.
- Pelantikan pengetua dan guru besar sedang dilaksanakan bagi memastikan pengurusan dan pentadbiran sekolah tidak terganggu.
- Pengisian jawatan penting memperkukuh pengurusan sekolah termasuk aspek keselamatan, disiplin dan kebajikan warga sekolah.
- Lebih 80 peratus pertukaran guru yang diluluskan melibatkan pasangan jarak jauh; kelayakan pertukaran dipendekkan kepada dua tahun.
- Kementerian akan terus menambah baik dasar dan mempertimbangkan isu kesihatan serta keselamatan untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan guru.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pelantikan tersebut sedang dilaksanakan bagi memastikan pengurusan dan pentadbiran sekolah tidak terganggu.
Jelas beliau, pengisian jawatan tersebut penting dalam memperkukuh pengurusan sekolah, termasuk aspek keselamatan, disiplin dan kebajikan warga sekolah.
”Sekolah tidak boleh bergerak, tidak boleh dibina ekosistemnya tanpa kekuatan pengurusan, oleh sebab itu kita lihat perkara ini secara serius dan mengambil langkah untuk mengisi kekosongan ini dengan segera supaya isu-isu termasuk keselamatan dan sebagainya dapat di atasi dengan segera,” katanya.
Ditemui pada Majlis Anugerah Guru di Ipoh, beliau turut memaklumkan kira-kira 80 peratus pertukaran guru yang diluluskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah melibatkan pasangan jarak jauh.
Tambah beliau, KPM turut memendekkan tempoh kelayakan permohonan pertukaran kepada dua tahun bagi membantu kebajikan guru yang berjauhan dengan keluarga.
”Dan yang lain-lain itu adalah berdasarkan isu kesihatan dan juga keselamatan yang turut menjadi pertimbangan kita. jadi situasi ini kita sangat faham dan kita memang mengambil kira semua permohonan ini dan tujuannya adalah untuk menjaga kebajikan guru-guru kita,” jelas beliau.
Beliau berkata, kementerian akan terus menambah baik dasar sedia ada dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru sentiasa terpelihara.