
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Sebanyak 120 keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah dan sedang dilaksanakan bagi menangani impak krisis bekalan global susulan konflik di Asia Barat.
- 27 keputusan selesai, 93 lagi dalam proses pelaksanaan; intervensi kerajaan sedang dilaksana dan dipantau rapat.
- Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) dan Dashboard Pantau Krisis diwujudkan untuk memantau bekalan, harga dan rantaian logistik.
- Asas ekonomi kekal kukuh: KDNK 5.4%, inflasi terkawal, eksport dan FDI meningkat serta pelaburan diluluskan jana peluang pekerjaan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menjelaskan, daripada jumlah tersebut, 27 keputusan selesai dilaksanakan, manakala 93 lagi dalam proses
pelaksanaan.
“Setakat ini, sebanyak 120 keputusan MTEN telah dan sedang diambil tindakan. Daripada jumlah tersebut, 27 keputusan telah selesai dilaksanakan.
“Manakala 93 lagi sedang dalam proses pelaksanaan. Ini menunjukkan bahawa intervensi kerajaan bukan sekadar diumumkan, tetapi sedang dilaksana dan dipantau secara dekat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Penerangan kepada Ahli Dewan Rakyat berkenaan krisis bekalan global di Dewan Rakyat, hari ini.
Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) turut ditubuhkan bagi memantau kedudukan bekalan, harga, rantaian logistik serta keperluan intervensi segera, selain Dashboard Pantau Krisis diwujudkan bagi membolehkan perkembangan semasa dipantau secara hampir masa nyata.
Menyentuh kedudukan ekonomi negara, asas ekonomi Malaysia kekal kukuh walaupun persekitaran global terus mencabar.
Keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang 5.4 peratus pada suku pertama 2026, disokong permintaan domestik yang kukuh, manakala kadar
inflasi kekal terkawal pada 2.0 peratus pada Mei lalu berbanding 1.9 peratus pada April.
Pada masa sama, jumlah eksport bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 meningkat 24.3 peratus kepada RM793.8 bilion, manakala aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pada suku pertama tahun ini mencecah RM22.8 bilion, khususnya dalam sektor perkhidmatan.
Selain itu, Malaysia turut merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM92.8 bilion membabitkan 1,249 projek yang dijangka mewujudkan lebih 50,000
peluang pekerjaan baharu.