PM kunjungi SIC, tinjau kawasan pit dan hadiri makan malam

Perdana Menteri bertemu Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa/Foto PMO

SEPANG, 3 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) petang tadi bagi meninjau sesi kelayakan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri mengadakan pertemuan dan perbualan ringkas dengan Putera Mahkota serta Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa.
  • Beliau meninjau kawasan pit pasukan Mercedes-AMG Petronas.
  • Beliau menghadiri majlis makan malam anjuran Putera Salman di kawasan paddock.

Ketibaan beliau kira-kira 4.50 petang disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik serta Pengerusi SIC, Datin Anita Azrina Abdul Aziz.

Perdana Menteri kemudian mengadakan pertemuan dan perbualan ringkas dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa.

Beliau turut meninjau pit pasukan Mercedes-AMG Petronas sebelum menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan Putera Salman di kawasan paddock.

Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026/Foto Facebook F1

F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia bermula semalam dengan sesi latihan bebas pertama dan kedua, diikuti sesi latihan bebas ketiga serta sesi kelayakan hari ini.

Kepulangan F1 ke Malaysia adalah susulan perbincangan dan kerjasama yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa dari Bahrain, selain kedua-dua kerajaan.

F1 membuat penampilan sulung di Sepang pada 1999, dengan litar berkenaan menjadi tuan rumah GP Malaysia sehingga 2017.

Perlumbaan utama dijadualkan berlangsung esok.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.