
CHENG, 29 Jun – Kerajaan Negeri Melaka bercadang memohon kepada Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan tiga lagi Balai Bomba baharu di negeri itu.
- Masa tindak balas dari Balai Bomba Masjid Tanah ke Kuala Linggi dianggarkan 20 hingga 30 minit, menunjukkan keperluan balai baharu.
- Cadangan pembinaan balai baharu di Selandar, Simpang Empat dan Kuala Linggi bagi meningkatkan keselamatan kawasan utara Melaka.
- Jabatan Bomba dilantik sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan di empat PBT, mempercepat perancangan dan pengurangan birokrasi.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, permohonan tersebut bagi memastikan tindakan pantas dapat dilaksanakan sekiranya berlaku kecemasan khususnya di Kuala Linggi yang terletak di kawasan paling utara di Melaka.
Ketika ini, masa tindak balas dari Balai Bomba Masjid Tanah dianggarkan antara 20 hingga 30 minit, sekali gus menunjukkan keperluan sebuah balai baharu di kawasan berkenaan.
“Kerajaan Negeri juga bercadang untuk memohon kepada Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan tiga lagi balai bomba baharu, iaitu di Selandar, Simpang Empat dan Kuala Linggi.
“Memandangkan Kuala Linggi merupakan mukim paling utara di Negeri Melaka, masa tindak balas untuk ke balai terdekat, iaitu Balai Bomba Masjid Tanah, boleh mengambil masa sekitar 20 hingga 30 minit, dan ia lebih dekat berbanding Balai Bomba Port Dickson.
“Justeru, kita memohon perhatian supaya Kuala Linggi turut diberikan jaminan keselamatan yang lebih baik melalui penambahan kemudahan balai bomba oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Cheng, di sini.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut memutuskan supaya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dilantik sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di keempat-empat PBT di Melaka.
Langkah itu membolehkan pihak bomba terlibat lebih awal dalam proses perancangan pembangunan, sekali gus memberi pandangan teknikal yang dapat mempercepat kelulusan projek serta mengurangkan kerenah birokrasi.
Melaka juga menjadi negeri pertama melaksanakan pendekatan tersebut, selaras dengan usaha memperkukuh aspek keselamatan dan mempercepat pembangunan demi kesejahteraan rakyat.