
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Anak syarikat Nexgram Holdings Bhd, Neu Nexus Century City Sdn Bhd (NNCC) memulakan pembangunan Neu Nexus Century City iaitu sebuah projek pembangunan infrastruktur, tenaga dan guna campur kecerdasan buatan (AI) dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM2 bilion.
- Projek dijangka mencapai nilai perusahaan kira-kira RM6.1 bilion apabila matang dan distrukturkan sebagai infrastruktur AI dan ekosistem komersial guna campur.
- NNCC Power Superblock merangkumi dua pusat data sedia AI, menara tenaga hijau dan AI, hotel, kediaman, pejabat, pusat konvensyen, kemudahan kesihatan, hab inovasi.
- Dua pusat data 20 megawatt direka menyokong pengkomputeran AI, aplikasi robotik, automasi pintar dan keperluan infrastruktur digital generasi baharu.
- Memeterai dua HOA dan dua MoU bernilai indikatif kira-kira RM1.23 bilion; projek dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi infrastruktur AI ASEAN dan bandar pintar.
NNCC dalam kenyataan memaklumkan projek itu dijangka mencapai nilai perusahaan kira-kira RM6.1 bilion apabila platform matang sepenuhnya dan distrukturkan sebagai infrastruktur AI yang boleh diperkembangkan dan ekosistem komersial guna campur.
“Pembangunan NNCC Power Superblock akan merangkumi dua pusat data sedia AI, menara tenaga hijau dan AI, hotel, kediaman, pejabat korporat, pusat konvensyen, kemudahan kesihatan serta hab inovasi.
“Dua pusat data berkapasiti 20 megawatt itu direka bagi menyokong pengkomputeran AI, aplikasi robotik, automasi pintar dan keperluan infrastruktur digital generasi baharu,” menurut kenyataan itu.
Sempena majlis pecah tanah, NNCC turut memeterai dua memorandum perjanjian (HOA) dan dua memorandum persefahaman bagi mandat pelaburan dengan nilai indikatif keseluruhan kira-kira RM1.23 bilion.
Kerjasama itu melibatkan pembangunan hotel dan kediaman, pelaburan pusat data AI serta pengumpulan dana bagi projek NNCC Power Superblock.
Projek tersebut dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi infrastruktur AI ASEAN, di samping menyokong pembangunan bandar pintar dan transformasi digital negara.
“Syarikat ini percaya permulaan NNCC, NNCC Power Superblock dan pengaturan strategik berkaitan menandakan langkah penting ke arah membina platform sedia untuk masa hadapan yang mampu menyokong penyertaan Malaysia dalam ekonomi infrastruktur AI ASEAN, transformasi digital perusahaan dan pembangunan bandar pintar generasi akan datang,” tambah kenyataan itu.