
KUALA LUMPUR, 23 April – Empat cadangan dikemukakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi memperkukuh peranan koperasi menghadapi cabaran bekalan global.
- Cadangan meluaskan subsidi diesel dan petrol kepada koperasi bagi sokongan logistik, pengangkutan dan penggunaan genset di kawasan luar bandar.
- Perluasan CoopMart dalam Program SARA serta bantuan naik taraf sistem POS dan digital bagi membolehkan penebusan barangan keperluan di premis koperasi.
- SKM memeterai MoU dan MoA dengan sektor tenaga, MPOB serta institusi pengajian untuk kukuhkan penglibatan koperasi dan rangka patuh Syariah i-CORES.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, antara cadangan utama ialah memperluaskan penggunaan diesel dan petrol bersubsidi kepada koperasi bagi menyokong operasi logistik, pengangkutan serta aktiviti ekonomi luar bandar.
“Mungkin ada sesetengah kenderaan yang digunakan seperti ‘pickup truck’ dan juga peralatan lain antaranya genset yang memang penting untuk aktiviti ekonomi koperasi, khususnya di luar bandar, perkara-perkara tersbut tidak terangkum dalam program subsidi.
”Jadi kita akan bermesyuarat untuk membincangkan perkara tersebut dan akan memanjangkan kertas usul kepada kerajaan untuk pertimbangan seterusnya,” katanya.
Selain itu, KUSKOP juga mencadangkan peluasan penglibatan CoopMart dalam Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi membolehkan rakyat menebus barangan keperluan asas menggunakan kad pengenalan di premis koperasi.
”KUSKOP akan memberikan bantuan, contohnya naik taraf sistem pos ataupun sistem elektronik dan digital yang lain.
”Kita akan bagi bantuan untuk bantu kedai-kedai tersebut agar mereka boleh terlibat sama, sebab kalau nak masuk dalam program SARA, mereka perlukan sistem pos, digital dan teknologi,” katanya.

Dalam pada itu, KUSKOP juga akan melaksanakan program ‘Business School in School’ untuk mendedahkan pelajar sekolah menengah kepada asas perniagaan, dengan penglibatan pelajar diiktiraf dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta pensijilan oleh Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia.
Tambahnya, KUSKOP juga bercadang menjadikan koperasi sebagai pusat kutipan sendiri bagi platform e-dagang dengan menyasarkan 100 premis akan turut serta pada tahun ini.
Pada majlis sama, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memeterai tiga Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Smart Stream Resources Sdn Bhd, Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi memperkukuh penglibatan koperasi dalam sektor tenaga dan sawit.
Sementara itu, dalam SKM turut memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama INCEIF University dan ISRA Institute bagi membangunkan kerangka koperasi patuh Syariah melalui i-CORES di bawah Dana Penyelidikan dan Inovasi Ekonomi Islam (IERIF).
Memorandum tersebut dimaterai semasa Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) yang berlangsung di Menara Kembar Bank Rakyat.