
KUALA TERENGGANU, 23 April – Semua aktiviti luar bilik darjah melibatkan pelajar di semua sekolah seluruh negeri Terengganu ditangguhkan serta-merta berikutan cuaca panas yang tidak menentu.
- Aktiviti dalam bangunan dibenarkan hanya pada waktu pagi dengan pematuhan prosedur operasi standard.
- Keputusan dibuat kerana cuaca panas dan risiko jerebu kebakaran; keselamatan dan kesihatan murid diutamakan, terutama penghuni asrama.
- PDPR belum diperlukan setakat ini; JPNT akan memantau keadaan dan mengeluarkan arahan baharu jika perlu.
Bagaimanapun, aktiviti dalam bangunan hanya dibenarkan pada waktu pagi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Kamsah @ Kamal Mohamed berkata, keputusan itu diambil susulan keadaan cuaca panas semasa walaupun suhu belum mencecah paras ekstrem, selain mengambil kira faktor kesihatan termasuk risiko jerebu akibat kebakaran yang dilaporkan di beberapa daerah terutama Kuala Nerus.
Sehubungan itu, pihak sekolah diarahkan supaya lebih peka terhadap tahap kesihatan pelajar, khususnya penghuni asrama dan pelajar yang terlibat dengan aktiviti petang.
“Surat telah dikeluarkan pada 20 haribulan dan arahan tersebut berkuat kuasa serta-merta. Semua aktiviti luar dibatalkan sementara, termasuk aktiviti air. Ini merangkumi program Satu Murid Satu Sukan, aktiviti unit beruniform, kelab dan persatuan, serta sukan dan permainan.
“Keputusan ini diambil bagi meredakan situasi semasa dan memastikan keselamatan murid sentiasa menjadi keutamaan. Perhimpunan pula hanya dibenarkan pada waktu awal pagi, manakala sebarang program pada waktu petang hendaklah ditangguhkan terlebih dahulu”, katanya.
Sekiranya terdapat simptom seperti sesak nafas atau keletihan melampau, tindakan segera perlu diambil termasuk merujuk kepada pihak hospital.
Dalam masa sama, JPNT memaklumkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) belum diperlukan setakat ini kerana keadaan masih terkawal.
Namun, pemantauan berterusan akan dilakukan dan sebarang arahan baharu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terjamin.